Thursday, July 2, 2009

Buta

1. BUTA HATI

Hati apabila telah menjadi buta, ia tidak akan mengenal ALLAH; tidak kenal kebenaran dan kebaikan lagi. Dari sini timbullah penyakit-penyakit mazmumah (keji) seperti tidak ada perasaan timbang rasa, tidak ada rasa syukur dengan rahmat dan nikmat ALLAH, tidak rasa berdosa dan bersalah apabila melakukan maksiat dan kesalahan, tidak terasa lagi kebesaran ALLAH semasa melihat alam yang indah ini, tidak ada rasa jijik lagi dengan kemungkaran, tidak terasa hina diri di hadapan Tuhan, dan tidak rasa lagi dirinya diperhati dan dilihat oleh Tuhan.

Oleh kerana ia telah buta, hati hanya semata-mata berperanan mengikut pimpinan hawa nafsunya yang jahat; yang memang hendak mempengaruhi hati sebagai raja dalam kerajaan diri agar dia dapat mengarahkan segala rakyat jelata dalam diri seperti mata, telinga, hidung dan sebagainya melakukan kemungkaran dan kejahatan.

Akibatnya seorang insan itu akan berkelakuan bagaikan kelakuan syaitan seperti mengadu-domba, tamak, memfitnah, sombong atau berkelakuan haiwan yang hanya memikirkan makan minum, seks, hiburan, dan sebagainya. Demikianlah bila hati sudah buta; yang memimpinnya adalah nafsu. Sewaktu buta itu, hati sudah tidak berperanan lagi, sebaliknya nafsulah yang mengambil alih tempatnya (sebagai raja).

Ertinya ia sudah tidak berperanan mengikut tabiat semulajadinya lagi. Inilah yang. dimaksudkan oleh ALLAH Ta'ala seperti dalam firman-Nya:

Sesungguhnya Kami peruntukkan untuk Neraka jahanam kebanyakannya terdiri dari jin dan manusia; bagi mereka ada hati, (tetapi) tidak mahu memahami (isi Al Quran) dengan hatinya; dan bagi mereka ada mata, (tetapi) tidak mahu melihat dengan matanya dan bagi mereka ada telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengan telinganya. Mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat. Mereka itulah orang-orang yang lalai. (Al A`raf:179)

2. BUTA AKAL

Orang yang buta akal ialah orang yang akalnya tidak boleh berfikir lagi atau tidak mahu lagi rnenggunakan fikiran, sekalipun otaknya tajam dan cerdik. Apabila akalnya buta, dia tidak dapat lagi menangkap ilmu pengetahuan dan pengalaman-pengalaman hidup sama ada dari apa yang dilihat oleh mata kasar mahupun dari sentuhan anggota lahir.

Akibatnya insan yang begini rupa akan menjadi orang yang pasif, jumud, beku dan kosong daripada ilmu pengetahuan. Kalaulah ia menjadi watak sesuatu bangsa, InsyaALLAH, bangsa itu menjadi satu bangsa yang beku, jumud, tidak berkemajuan dan tidak mempunyai tamadun yang tinggi.


3. BUTA NAFSU

Buta nafsu ertinya nafsu yang tidak mendorong manusia mengikut sifat semulajadinya ke arah kejahatan dan kemungkaran. Oleh kerana kebutaannya itu, maka ianya telah dipimpin oleh hati yang memang tabiat semulajadinya sudah mengenal ALLAH, taat dan sukakan kebaikan. Hati sebagai raja dalam kerajaan diri, akan memimpin nafsu itu bersesuaian dengan kehendak-kehendak yang dibenarkan oleh ALLAH dan Rasul. Dengan kata-kata yang lain, nafsu yang buta ini akan patuh kepada pimpinan hati (roh) sebagai raja.




Hati yang buta adalah hati yang sudah rosak. Dalam kebutaannya itu ia akan dipimpin oleh nafsu. Akal yang buta atau yang sudah rosak, maka dia tidak dapat lagi menerima ilmu pengetahuan.

Sebaliknya memiliki nafsu yang buta adalah baik bagi seseorang insan kerana dengan kebutaannya itu, ia akan mendorong lagi kepada berbuat kebaikan. Atau dengan kata-kata yang lain, ianya (nafsu) tidak derhaka lagi kepada ALLAH SWT kerana ia telah dipimpin oleh hati disebabkan ia telah buta tadi.

Oleh itu sebagai seorang insan, hati (roh) hendaklah selalu dijaga agar sentiasa sihat dan celik. Jangan sampai ia ditimpa penyakit buta hati yang mana nafsu akan mengambil peluang untuk menguasai dan mengotorinya. Akal pula hendaklah dipelihara jangan sampai ia buta sehingga tidak dapat lagi menimba ilmu pengetahuan dan pengalaman hidup.

Nafsu elok diusahakan agar buta dengan melakukan mujahadatunnafsi. Agar dia tidak nampak lagi .kejahatan dan kemungkaran. Supaya ia senang dipimpin oleh hati yang menjadi raja dalam kerajaan diri.

Firman ALLAH:
Terjemahannya: Sesungguhnya telah menanglah orang yang membersihkan jivanya. Dan rugilah orang yang mengotorkannya. (Asy Syams: 9-10)

Perlu diingat, kalau manusia itu berusaha menjaga hati agar tidak buta dan nafsunya dibutakan, tetapi disebaliknya tidak menjaga akal daripada buta, ia akan menjadi manusia yang mempunyai akhlak yang baik tetapi pasif dan beku. Kalau ia memimpin sesuatu bangsa, ia akan menjadikan bangsa itu baik dan berakhlak. Tetapi malangnya bangsa tersebut akan . menjadi bangsa yang beku, pasif dan tidak mempunyai tamadun.

Sebaliknya kalau manusia itu akalnya saja yang diasah dan dijaga dengan sebaik-baiknya, agar tidak buta supaya dia dapat ilmu pengetahuan dan pengalaman dalam kehidupan, tetapi sebaliknya membiarkan hatinya buta dan membiarkan pula nafsunya celik dan terbuka luas melihat dunia, dia akan menjadi manusia yang pandai dan berilmu tetapi jahat,kejam,tamak, mementingkan diri, penipu, tidak mempunyai akhlak dan akan menjadi perosak kepada dunia serta masyarakat umum.

Kalau watak dan sikap seperti ini ada pada sesuatu bangsa, jadilah satu bangsa itu satu bangsa yang jahat, menindas, menzalimi, tidak berakhlak dan ,menjadi perosak dunia. Inilah yang berlaku pada kebanyakan manusia di dunia hari ini terutamanya dikalangan masyarakat Barat.

Firman ALLAH:
Telah lahirlah bencana di daratan dan di lautan kerana hasil usaha tangan-tangan manusia; supaya ALLAH merasakan kepada mereka sebahagian dari (balasan) perbuatan yang mereka lakukan. (Ar Rum: 41)


Kalau seseorang itu hati (roh) dan akalnya buta tetapi nafsunya celik dan terbuka, ia akan menjadi seorang yang jahat tetapi tidak berilmu dan pasif. Sekiranya watak ini dimiliki oleh sesuatu bangsa, akan lahirlah satu bangsa yang jahat, tidak bertamadun dan pasif.

Oleh itu kita sebagai umat Islam, hendaklah
menjaga hati hingga ia sentiasa celik melihat kebenaran sepanjang masa. Jangan sampai ia buta daripada melihatnya.

Begitu juga dengan akal, jangan, sampai ia buta sehingga tidak dapat lagi menimba dan memiliki ilmu pengetahuan. Sebaliknya bagi nafsu, biarlah ia buta. Dengan kecelikan hati dan akal serta nafsu yang buta, kita akan dapat membina keperibadian dan akhlak yang tinggi serta membentuk satu bangsa yang patuh, berdisiplin, berkasih sayang serta berkemajuan dan bertamadun.

Dan hasilnya, sekali lagi kita akan berjaya menguasai dan melindungi serta memayungi umat manusia di dunia ini seperti zaman salafussoleh. Oleh itu para ulama, para pejuang Islam, jemaah-jemaah Islam, guru-guru, kiyai-kiyai dan ustaz-ustaz hendaklah berusaha dari sekarang untuk memimpin umat Islam ke arah kehidupan yang diredhoi ALLAH sepertimana yang telah kita gambarkan di atas.

sumber