Wednesday, August 25, 2010

Kisah Anak yang Tawakkal

Seorang soleh bernama Ahmad Bin Harb mempunyai seorang anak lelaki. Sejak kecil anak itu telah diajarkan mengenal Allah dan yakin bahawa Dia berkuasa atas segala sesuatu.

Allah yang menghidupkan, yang mematikan dan yang memberi rezeki kepada manusia.

"Nak, jika engkau menginginkan sesuatu, engkau mesti meminta dan berdoa kepada Allah tidak boleh kepada yang lain," kata Ahmad kepada anaknya yang masih kecil itu.

"Caranya bagaimana ayah?" tanya anaknya.

"Engkau pergi ke tingkap, angkat kedua-dua tanganmu ke langit dan ucapkan: "Ya Allah! Aku ingin ini.... maka berikanlah aku rezeki dari sisi-Mu."

Ahmad dan isterinya telah menyediakan segala makanan, minuman atau benda-benda yang menjadi kegemaran anaknya itu. Setiap kali anaknya pergi ke tingkap, kedua-duanya pergi ke tempat benda-bendanya yang disorokkan.

Suatu hari anaknya pergi ke tingkap dan berdoa: "Ya Allah, aku ingin roti yang sedap, maka berilah aku rezeki dari sisi-Mu."

Secepat kilat ibunya meletakkan roti diatas meja makan. Maka apabila anaknya pergi ke meja makan, telah tersedia makanan yang dimintanya. Dia yakin bahawa barang itu dari Allah.

 Esok harinya ia pergi pula ke tingkap dan berdoa: "Ya Allah!, berilah aku minuman yang sedap."

Apabila dia menoleh, di meja sudah tersedia minuman yang sedap yang diletakkan oleh ibunya. Dia yakin bahawa Allah telah menunjukkan kekuasaannya dengan memperkenankan setiap permintaannya.

Suatu hari, Ahmad dan isterinya bepergian. Sementara anaknya yang berada di rumah sangat ingin makan roti. Maka pergilah dia ke tingkap dan berdoa : "Ya Allah, aku sangat ingin makan roti., Maka berilah aku rezeki roti dari sisi-Mu."

Ketika itu juga tersedia roti di tempat makannya. Apabila ibu bapanya pulang,. kedua-duanya terkejut kerana anaknya makan roti. Padahal ketika itu di rumahnya kebetulan tidak ada roti.

"Daripada mana engkau mendapatkan roti wahai anakku?' tanya Ahmad dan isterinya.

"Dari Allah yang memberiku maknan setiap hari itu." jawab anaknya.

Dengan kejadian ini, Ahmad sedar bahawa anaknya telah mencapai taraf yang tinggi keyakinannya kepada Allah, dan telah menempuh jalan seperti yang ditempuh oleh orang yang tawakkal.

~Himpunan Kisah Sufi~

No comments: