"Sesiapa yang melakukan satu dosa, maka akan tumbuh pada hatinya setitik hitam, sekiranya dia bertaubat akan terkikislah titik hitam itu daripada hatinya. Jika dia tidak bertaubat maka titik hitam itu akan terus merebak hingga seluruh hatinya menjadi hitam."
(Hadis riwayat Ibn Majah)
Hadis ini selari dengan firman Allah bermaksud:
"Sebenarnya ayat-ayat Kami tidak ada cacatnya, bahkan mata hati mereka sudah diselaputi kotoran dosa dengan sebab perbuatan kufur dan maksiat yang mereka kerjakan."
(Surah al-Muthaffifiin, ayat 14)
Hati yang kotor dan hitam akan menjadi keras. Apabila hati keras, kemanisan dan kelazatan beribadat tidak dapat dirasakan. Ia akan menjadi penghalang kepada masuknya nur iman dan ilmu. Belajar sebanyak mana pun ilmu yang bermanfaat atau ilmu yang boleh memandu kita, namun ilmu itu tidak masuk ke dalam hati, kalau pun kita faham, tidak ada daya dan kekuatan untuk mengamalkannya. Dalam hal ini Allah berfirman yang bermaksud:
"Kemudian selepas itu, hati kamu menjadi keras seperti batu, bahkan lebih keras lagi. Pada hal antara batu-batu itu ada yang terpancar dan mengalir sungai daripadanya dan ada pula antaranya yang pecah-pecah terbelah lalu keluar mata air daripadanya. Dan ada juga antaranya yang jatuh ke bawah kerana takut kepada Allah sedang Allah tidak sekali-kali lalai daripada apa yang kamu kerjakan."
(Surah al-Baqarah ayat 74)
Tanda-tanda hati mati Menurut Syeikh Ibrahim Adham, antara sebab atau tanda-tanda hati mati ialah:
* Mengaku kenal Allah SWT, tetapi tidak menunaikan hak-hak-Nya.
* Mengaku cinta kepada Rasulullah s.a.w., tetapi mengabaikan sunnah baginda.
* Membaca al-Quran, tetapi tidak beramal dengan hukum-hukum di dalamnya.
* Memakan nikmat-nikmat Allah SWT, tetapi tidak mensyukuri atas pemberian-Nya.
* Mengaku syaitan itu musuh, tetapi tidak berjuang menentangnya.
* Mengaku adanya nikmat syurga, tetapi tidak beramal untuk mendapatkannya.
* Mengaku adanya seksa neraka, tetapi tidak berusaha untuk menjauhinya.
* Mengaku kematian pasti tiba bagi setiap jiwa, tetapi masih tidak bersedia untuknya.
* Menyibukkan diri membuka keaiban orang lain, tetapi lupa akan keaiban diri sendiri.
* Menghantar dan menguburkan jenazah/mayat saudara se-Islam, tetapi tidak mengambil pengajaran daripadanya.
Mati hati itu adalah kerana tiga perkara iaitu :
.
* Hubbul dunia (kasihkan dunia)
* Lalai daripada zikirullah (mengingati Allah)
* Membanyakkan makan dan menjatuhkan anggota badan kepada maksiat kepada Allah
Hidup hati itu kerana tiga perkara iaitu :
* Zuhud dengan dunia
* Zikrullah
* Bergaul atau berkawan dengan aulia Allah
1 comment:
MasyaAllah Tabarakallah.. Mohon izin share boleh? Utk peringatan diri sendiri dan kawan-kawan lain :(
Post a Comment