Friday, May 8, 2009

Manusia Dibalas Hanya Dengan Apa Yang Diperbuatnya

Setiap manusia yang diberikan akal oleh Allah Ta'ala pastinya dapat memikirkan bahawa setiap perbuatan yang diperbuat pasti dibalas sesuai dengan perbuatannya. Ibarat sebutir benih sawi yang ditanam pasti akan turut menumbuhkan pohon sawi.
Namun masih ramai yang lalai dan lengah dari kebenaran ini, terus-terusan melakukan kemaksiatan dan kemungkaran tanpa memikirkan kesannya di hari pembalasan kelak. Ingatlah firman Allah dalam surah As Syuaraa ayat 88-89,

يَوۡمَ لَا يَنفَعُ مَالٌ۬ وَلَا بَنُونَ (٨٨) إِلَّا مَنۡ أَتَى ٱللَّهَ بِقَلۡبٍ۬ سَلِيمٍ۬ (٨٩

Hari yang padanya harta benda dan anak pinak tidak dapat memberi sebarang pertolongan. Kecuali orang-orang yang datang menghadap Allah dengan hati yang bersih(dari syirik dan penyakit munafik).

Dalam menerangkan dan mengingatkan manusia akan pembalasan ini, Allah SWT telah berfirman:

Dan Allah jualah yang memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di bumi; (diciptakan semuanya itu) untuk membalas orang-orang yang berbuat jahat menurut apa yang mereka lakukan dan membalas orang-orang yang berbuat baik dengan balasan yang sebaik-baiknya.
[An Najm: 31]



Dan bahawa sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang diusahakannya; Dan bahawa sesungguhnya usahanya itu akan diperlihatkan (kepadanya, pada hari kiamat kelak);Dan bahawa sesungguhnya kepada hukum Tuhanmu lah kesudahan (segala perkara).
[An Najm: 39-42]


(Balasan yang baik yang dijanjikan oleh Allah itu) tidak akan didapati hanya dengan angan-angan kamu semata-mata dan tidak pula dengan angan-angan ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani). Sesiapa yang melakukan kejahatan, dia akan dibalas dengan kejahatan itu dan dia pula tidak akan mendapat selain dari Allah seorang pun yang akan melindunginya dan tidak ada juga yang dapat menolongnya.
[An Nisa': 123]


Dan sesiapa yang mengerjakan amal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang dia beriman, maka mereka itu akan masuk Syurga dan mereka pula tidak akan dianiaya (atau dikurangkan balasannya) sedikitpun.
[An Nisa':124]



Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!.
[Az Zalzalah: 7-8]



Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Dia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya dan dia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya.
[Al Baqarah: 286]



Sesiapa yang mengerjakan amal soleh maka faedahnya akan terpulang kepada dirinya sendiri dan sesiapa yang berbuat kejahatan maka bahayanya akan menimpa dirinya sendiri dan Tuhanmu tidak sekali-kali berlaku zalim kepada hamba-hambaNya.
[Fusshilat: 46]


(Ingatlah) hari (kiamat yang padanya) tiap-tiap seorang akan mendapati apa sahaja kebaikan yang telah dikerjakannya, sedia (dibentangkan kepadanya dalam surat-surat amalnya) dan demikian juga apa sahaja kejahatan yang telah dikerjakannya. (Ketika itu tiap-tiap orang yang bersalah) ingin kalau ada jarak yang jauh di antaranya dengan amalnya yang jahat itu dan Allah perintahkan supaya kamu beringat-ingat terhadap kekuasaan diriNya (menyeksa kamu) dan (ingatlah juga), Allah Amat belas kasihan kepada hamba-hambaNya.
[Ali Imran:30]



Dan peliharalah diri kamu dari huru-hara hari (kiamat) yang padanya kamu akan dikembalikan kepada Allah. Kemudian akan disempurnakan balasan tiap-tiap seorang menurut apa yang telah diusahakannya, sedang mereka tidak dikurangkan balasannya sedikitpun.
[Al Baqarah:281]



No comments: