Thursday, June 18, 2009

Allah Mengasihi orang-orang berdosa


Islam tidak pernah mengajar kita umatnya untuk membenci mereka yang berdosa. Begitulah mulianya agama Islam dan membuktikan sifat Allah Yang Maha Pengasih dan Maha Penerima Taubat hamba-hambaNya. Rasulullah SAW pernah bersabda:

"Seandainya hamba-hamba Allah tidak berbuat dosa, niscaya Allah akan menciptakan makhluk yang berbuat dosa kemudian mereka istighfar (meminta ampun kepada Allah), lalu Allah mengampuni dosa mereka. Dan Dia adalah Maha Pengampun Lagi Maha Penyayang"


Setiap yang berdosa, Allah Ta'ala tidak akan membiarkan mereka terus berada di dalam kesesatan jika melakukan dosa dan kesalahan, tetapi menyelamatkan mereka dengan limpahan rahmat dan kasih sayang-Nya. Apakah bukti-bukti kasih sayang Allah Ta'ala itu?

Setiap masa Allah telah menunjukkan kepada setiap hambaNya dua jalan, yakni jalan kebaikan dan kejahatan. Setiap jalan menunjukkan 2 akibat berbeza yang perlu kita pilih dengan menggunakan akal yang telah dianugerahkan Allah Ta'ala. Akal yang hanya ada pada manusia membezakan kita antara makhluk ciptaannya yang lain seperti haiwan,tumbuhan, mahupun jin dan syaitan. Dengan akal yang waras dan sihat,pasti manusia dapat memikirkan setiap jalan kejahatan atau kemaksiatan yang dipilih akan membuahkan akibat yang negatif, begitu juga sebaliknya.

Di samping itu, Allah juga mengutus seorang Rasul sebagai pembawa petunjuk dan risalah bagi umatnya. Banyak yang telah diajari oleh Rasulullah kepada umat Islam sebagai panduan untuk memperoleh kebahagian dalam hidup, bukan sahaja di dunia malah di akhirat sana.

Sekalipun demikian, masih saja manusia tergelincir dalam lembah kemaksiatan dan melumuri dirinya dengan kejahatan dan dosa. Sebagai bentuk kasih sayang kepada hamba-Nya, Allah membuka pintu taubat dan berjanji kepada orang yang bertaubat akan mengganti kejahatan mereka dengan kebaikan di dunia, serta tempat kembali terbaik kelak di akhirat.
Firman Allah swt: “ Katakanlah, wahai hamba-hambaKu yang berlebih-lebihan terhadap dirinya (dengan memperbuat dosa), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah swt. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa semuanya. Sesungguhnya Dialah yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Kembalilah (bertaubatlah) kamu kepada tuhanmu, dan patuhlah kamu kepadaNya sebelum tiba siksaan kepadamu, kemudian kamu tidak mendapat pertolongan” (Az-Zumar: 53,54)


Semoga Allah Ta'ala menerima taubat kita dan menerima kita menjadi sebahagian hambaNya yang beroleh khusnul khotimah. Amin Ya Rabbal 'alameen.

Laa haulawalaquwwata illa billah.
Astaghfirullah al adzim.

No comments: