Wednesday, April 8, 2009

Kehidupan ibarat sebuah bahtera

Sabda rasulullah SAW ,
"Perumpamaan orang yang berdiri pada batasan Allah dan yang jatuh di dalamnya adalah seumpama satu kumpulan yang menaiki bahtera. Setengahnya berada di di bahagian atas bahtera manakala sebahagian yang lain berada di bahgian bawah. Mereka yang berada di bawah, apabila ingin mendapatkan air maka melalui orang-orang yang berada di atas. Mereka berkata: Apakata kalau kita tebuk sedikit dari kapal ini, agar kita tidak menyusahkn orang di atas! Jika mereka semua membiarkan golongan ini dengan kehendak-kehendak tersebut, maka semuanya akan binasa. Jika mereka membimbing tangan-tangan tersebut pasti mereka akan selamat dan semua akan selamat"




Ini adalah suatu gambaran yang dibuat oleh Rasulullah SAW tentang kehidupan. Suatu perumpamaan yang begitu indah kerana memang kehidupan ini ibarat pelayaran yang tidak akan pernah luput dari alunan ombak,sama ada perlahan alunannya mahupun kuat seperti ribut. Kehidupan kita di dunia ini bukanlah hanya seorang diri kita sahaja, tetapi turut merangkumi masyarakat sekeliling kita. Masyarakat adalah ibarat penumpang yang sam-sama dalam perjalanan kita untuk sampai ke pelabuhan. Baik buruknya masyarakat sedikit sebanyak akan memberi kesan kepada perjalanan kita.

Namun begitu, tidak ramai yang menyedari hakikat ini, manusia kini kebanyakannya hidup nafsi-nafsi tanpa mempedulikan masyarakat sekeliling. Khayal dalam bahtera yang kelihatan tenang ibarat berada di daratan. Lantaran itu jugalah ia berani untuk melakukan sesuatu tindakan di luar batasan Allah. Kalaulah si pelanggar batasan Allah ini sedar bahawa mereka sebenarnya bukanlah berada di daratan,tidak kekal di suatu tempat dan tidak akan terus berada di dalam bahtera itu, pastilah mereka akan takut untuk melakukan sesuatu di luar batasan,sombong dan menceroboh laranagan Allah Ta'ala. Katanya:Siapa boleh mengganggu aku! Aku bebas melakukan apa yang aku mahu dan apa yang aku suka! Tiada siapa yang boleh mengahalang aku!

Orang seperti ini khayal dan lupa bahawa sebenarnya dia hidup di dalam masyarakat. Sikapnya yang melampauii batasan itu boleh mmberi kesan kepada orang lain. Masyarakat di sekitarnya juga lupa untuk mengingatkan orang itu,membiarkannya menyebarkan keburukan dalam masyarakat. Akhirnya perkara-perkara terlarang semakin berleluasa dan masyarakat pula semakin hari semakin rosak.

Ada orang yang mempersoalkan bagaimana dengan ayat yang terdapat dalam surah Maidah ayat 105 yang maksudnya:


يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ عَلَيۡكُمۡ أَنفُسَكُمۡ‌ۖ لَا يَضُرُّكُم مَّن ضَلَّ إِذَا ٱهۡتَدَيۡتُمۡ‌ۚ إِلَى ٱللَّهِ مَرۡجِعُكُمۡ جَمِيعً۬ا فَيُنَبِّئُكُم بِمَا كُنتُمۡ تَعۡمَلُونَ (١٠٥

Wahai orang-orang yang beriman! Jagalah sahaja diri kamu (dari melakukan sesuatu yang dilarang oleh Allah). Orang-orang yang sesat tidak akan mendatangkan mudarat kepada kamu apabila kamu sendiri telah mendapat hidayat petunjuk (taat mengerjakan suruhan Allah dan meninggalkan laranganNya). Kepada Allah jualah tempat kembali kamu semuanya, kemudian Dia akan menerangkan kepada kamu (balasan) apa yang kamu telah lakukan.

Persoalan ini pernah timbul pada zaman sahabat, lalu Saidina Abu Bakar As Siddiq bangun dan pantas mengingatkan dan membetulkan persepsi mereka. Kata Abu Bakar:

"Wahai manusia, kamu membaca ayat ini sedangkan aku pernah mendengar Rasulullah SAW pernah bersabda:
"Sesungguhnya manusia itu apabila mereka melihat kepada orang yang zalim tetapi mereka tidak mencegah kezaliman itu, Allah akan menurunkan balasan dari sisiNYa kepada mereka semua"
(HR Abu Daud & Tirmizi)


Kisah menarik yang boleh dikaitkan disini ialah mengenai sebuah tempat yang penuh dengan maksiat, Allah Ta'ala memerintahkan kepada malaikat untuk menurunkan azab di kawasan yang penuh maksiat itu. Tidak lama kemudian malaikat itu kembali dan memberitakan terdapat 3 orang soleh dan alim yang sedang beribadat pada Allah di dalm masjid. Lalu Allah Ta'ala memerintahkan agar bala itu tetap diturunkan juga dan terlebih dahulu kepada pemuda-pemuda yang soleh itu kerana tidak menjalankan dakwah di kalangan masyarakatnya.

Begitulah juga dalam kehidupan kita, janganlah kita mementingkan diri dan keluarga atau orang-orang yang kita sayangi sahaja. Membiarkan terus menerus orang lain di dalam kejahilan dan kemaksiatan. Mahukah kita menjadi ibarat kapal yang ditebuk-tebuk dan menanti karam? Yang kita tidak mungkin dapat menyelamatkan diri kita mahupun orang-orang yang kita sayangi daripada karam.

Oleh itu sebelum tenggelam di dalam api neraka yang marak menyala-nyala pilihlah untuk tenggelam di dalam syurga dan kenikmatan yang tidak pernah tergambar oleh mata dan akal dengan berbuat baik dan saling nasihat menasihati serta mencegah kemaksiatan sepertimana di dalm firman Allah dalam surah Fussilat ayat 33 dan 34:

وَمَنۡ أَحۡسَنُ قَوۡلاً۬ مِّمَّن دَعَآ إِلَى ٱللَّهِ وَعَمِلَ صَـٰلِحً۬ا وَقَالَ إِنَّنِى مِنَ ٱلۡمُسۡلِمِينَ (٣٣) وَلَا تَسۡتَوِى ٱلۡحَسَنَةُ وَلَا ٱلسَّيِّئَةُ‌ۚ ٱدۡفَعۡ بِٱلَّتِى هِىَ أَحۡسَنُ فَإِذَا ٱلَّذِى بَيۡنَكَ وَبَيۡنَهُ ۥ عَدَٲوَةٌ۬ كَأَنَّهُ ۥ وَلِىٌّ حَمِيمٌ۬ (٣٤


Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta dia sendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil berkata: Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah)! .Dan tidaklah sama (kesannya dan hukumnya) perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat. Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik; apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta-merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib.

Laa haulawalaquwwata illa billah.
Astaghfirullah al adzim.

1 comment:

harishasmunir said...

salam. terima kasih di atas posting ini. pernah dengar dalam satu tazkirah. memang inilah yang dikatakan persaudaraan dalam islam. saling ingat-mengingati dan bersama-sama menuju kebaikan hidup dunia dan akhirat.