"Dan janganlah Engkau hinakan aku pada hari mereka dibangkitkan.(Yaitu) di hari harta dan anak tidak berguna, kecuali orang-orang yang menghadap Allah dengan hati yang bersih" (Asy Syuara: 87-89)
Monday, September 28, 2009
Pencarianku..
Lama sudah ku cari,
erti cinta yang sebenarnya,
hingga ku tersasar,
ke cinta hamba yang palsu,
Lelah rasanya,
tiada upaya,
dalam kembara,
mencari secebis sinarMU,
gelora rasa rindu,
merantai ku,
genggam kejap,
lemas aku,
dalam ratapan pilu..
Tuhan,
baru kini kusedar,
setitis kasih sayangMu,
bak embunan pagi,
penyejuk hati,
pendamai jiwa,
tenang..
aku kini kembali padaMu,
Rabbi..
pndangilah aku kembali,
saat-saat indah,
Engkau membelaiku,
hingga terpaku ku,
di kalamMu yang menggetar sukma,
membangkit rasa,
cinta dan asyikku,
hanyalah buatMu,
Ilahi..
kini kusedar,
Engkaulah yang kucari selama ini,
dalam jauh ku melangkah,
kembara seorang pejalan,
di lamanMU...
Tuhanku..
alangkah besar lunakMu terhadap diriku..
padahal sangat dunguku,dan alangkah besarnya RahmatMu pada diriku..
disamping sangat buruk perbuatanku..
Tuhanku..
alangkah dekatMu daripadaku,dan alangkah jauhku daripadaMu..
Tuhanku..inilah kehinaan nyata di hadapanMu,
dan inilah keadaanku tidak tersembunyi daripadaMu..daripadaMu aku mohon supaya dapat sampai kepadaMu.
Dan dengan Engkau aku mencari Hidayat (petunjuk)..dengan Nur cahayaMu untuk sampai kepadaMu..dan tegakkanlah aku dalam kesungguhan pengabdianku di hadapanMu..
(Munajat Ibnu Athoillah)
Laa haulawalaquwwata illa billah.
Astaghfirullah al adzim.
Saturday, September 26, 2009
Kembali pada Pencipta
Firman Allah Ta'ala,
"Tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk beribadat kepadaku."
Dalam perjalanan yang singkat kembali semula kepada Pencipta banyak halangan yang mendatang. Hanya mereka yang terpilih oleh Allah Ta’ala sahaja akan berjaya menempuhinya. Allah Ta’ala Maha Penyayang kepada setiap hambaNya. Diutuskan olehNya Rasul-Rasul yang terpilih untuk menjelaskan hakikat sebenar kehidupan manusia di dunia ini. Betapa kasihnya Allah pada kita, tidak dibiarkan manusia kesesatan di dunia yang penuh cubaan ini. Diilhamkan juga pada setiap manusia naluri berTuhan dan naluri untuk melakukan kebaikan.
Syaitan laknatullah dan juga nafsu jahat tidak akan pernah berhenti menggoda manusia agar terpesong dari jalan kebenaran. Sentiasa berusaha menjauhkan manusia dari petunjuk Allah Ta’ala. Menjauhkan manusia daripada ayat-ayat Allah dan pesanan-pesanan Rasulullah SAW. Rugilah manusia yang berpaling dari Al-Quran dan Hadith yang sentiasa mengingatkan di saat lupa . Hidup hanya terbatas di dunia ini sahaja dan bercita-cita untuk memenuhi segala keinginan duniawi yang melalaikan. Mereka memandang segalanya terbatas hanya berdasarkan pengetahuan malah menganggap kehidupan akhirat tidak benar sama sekali. Bangga dengan diri sendiri lantaran ilmu yang dirasakan penuh didada lalu mengabaikn ayat-ayat Allah. Mereka akan akhirnya terjerumus ke dalam neraka bersama-sama syaitan di akhirat kelak.
"Sesungguhnya kekuatan/kekuasaan syaitan itu hanya pada orang -orang yang berwali padanya (menurut pada pimpinan/bisikan-bisikannya, dan dengan itu mereka menyekutukan Allah) (An Nahl:100)
Beruntunglah setiap manusia yang berjaya menempuhi setiap cubaan yang datang. Namun pesan pada diri semuanya bukan kerana diri sendiri malahan dengan Rahmat dan Kasih Sayang Allah yang Maha Agung yang mengurniakan hidayahNya. Tidak ada sebarang kejadian di dunia ini yang berlaku melainkan dengan kehendak Allah. Masuknya seseorang hamba ke syurga bukan kerana pangkat,darjat,keturunan,rupa apatah lagi hartanya, melainkan dengan Rahmat dan belas kasihan Allah jua.
Jika di saat ini kita merasakan diri kita hina dan penuh dosa di hadapan Allah, cepatlah memohon taubat padaNya. Dia tidak pernah mengabaikan setiap hambaNya apatah lagi yang mereka yang memohon ampunan dan Rahmat dari pada Nya dengan penuh kesungguhan. Kembalilah kepada Allah Pencipta yang menjadikan kita. Jangan sesekali berputus asa dalam mencari sinar hidayah buat menerangi kehidupan yang dirasakan umpama dalam kegelapan.
"Katakanlah:Hai hambaKu yang telah keterlaluan menjerumuskan diri (berbuat dosa), jangan kamu putus harapan dari Rahmat Allah, sesungguhnya Allah sanggup mengampunkan semua doa, Allah Maha Pengampun lagi Maha penyayang." (Az Zumar:53)
Perjalanan kearah kebenaran tidak dijadikan Allah indah dan mudah umpama seorang artis yang dibentangkan karpet merah malah akan sentiasa diselangi dengan onak duri yang meranjau. JIka kita mengimbas kembali bagaimana kehidupan para Rasul dan sahabat yang tidak pernah sunyi dari penderitaan pasti kita akan menyedari,betapa beruntungnya kita. Oleh itu gunakanlah kesempatan umur yang masih bersisa ini untuk terus mencari keredhaan Allah. Kerana tanpa redha Allah tiadalah erti kita disisi Allah. Rahmat dan keredhaan Allah menjadi misi utama dalam meraih cinta-Nya yang hakiki. Dan ingatlah wahai diri di saat ujian datang bertimpa-timpa,mohonlah padaNya kerana Allah itu dekat dan sentiasa bersama kita. Semoga Allah memudahkan perjalanan kita kembali ke sisiNya.
"…maka Allah mengetahui apa yang ada di dalm hati mereka lalu menurunkan ketenangan atas mereka dan memberikan balasan kepada mereka dengan kemenangan yang dekat(waktunya)." (Al Fath:18)
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Tuhan dosaku menggunung tinggi
Tapi taubatku tak ku tepati
Tuhan RahmatMU melangit luas
Namun sedikit sekali ku bersyukur…
Tiada daya untuk bertahan…hanya Engkau tempat berpegang..
Kau jagalah hati yang kadang redup..ditiup angin duniawi…
Gemerlap kilauan harta,takhta dan cinta manusia..yang menyesatkan…
Ilahi.. daku berlindung kepadaMu dari jiwa yang tidak pernah merasa puas..
Ilahi.. jangan Engkau tinggalkan aku dengan diriku sendiri walau sekelip mata cuma…pimpin daku pada jalanMu yang lurus..ampunilah hamba yang penuh dosa ini Ya Allah..
Ilahi..Anta maqsudi wa redhaKa mathlubi…ameen Ya Rabbal ‘alameen..
Laa haulawalaquwwata illa billah.
Astaghfirullah al adzim.
Thursday, September 24, 2009
Dialog Rasulullah SAW dengan Iblis laknatullah
Maka Malaikat itu pun berjumpa Iblis dan berkata, “Hai Iblis! Bahawa Allah Yang Maha Mulia dan Maha Besar menyuruh engkau menghadap ke hadrat Rasullullah s.a.w. Hendaklah engkau buka segala rahsia engkau dan apa-apa yang disoal oleh Rasulullah hendaklah engkau jawab dengan sebenar-benarnya. Jikalau engkau berdusta walau satu perkataan pun, nescaya akan diputuskan segala suku-suku anggota badanmu, uratmu serta disiksa dengan azab yang amat keras”.
Demi mendengar sahaja kata Malaikat yang dahsyat itu, Iblis sangat ketakutan. Maka segeralah dia menghadap Rasulullah s.a.w. dengan menyamar sebagai seorang tua yang buta sebelah matanya dan berjanggut putih 10 helai; panjangnya seperti ekor lembu. Iblis pun memberi salam, sehingga 3 kali tidak juga dijawab oleh Rasulullah s.a.w. Maka sembah Iblis (alaihi laknat),”Ya Rasulullah! Mengapa tuan hamba tidak mejawab salam hamba? Bukankah salam itu sangat mulia di sisi Allah?”
Maka jawab Nabi dengah marah “Hai Aduwullah seteru Allah! Kepada aku engkau menunjuk baikmu? Jangan engkau cuba hendak tipu aku sebagimana engkau tipu Nabi Adam a.s sehingga keluar dari syurga Habil mati teraniaya dibunuh Qabil dengan sebab hasutan engkau, Nabi Ayub engkau tiup dengan asap racun ketika dia sedang sujud sembahyang hingga dia sengsara beberapa lama, Nabi Daud dengan perempuan Urya, Nabi Sulaiman meninggalkan kerajaannya kerana engkau menyamar sebagai isterinya dan begitu juga beberapa Anbiya dan pendita yang telah menanggung sengsara akibat hasutan engkau. Hai Iblis! Sebenarnya salam itu sangat mulia di sisi Allah azza wajalla, cuma salam engkau saja aku tidak hendak menjawabnya kerana diharamkan Allah. Maka aku kenal baik-baik engkaulah Iblis, raja segala iblis, syaitan dan jin yang menyamar diri. Apa kehendak engkau datang berjumpa aku?”
Sembah Iblis,”Ya Nabi Allah! Janganlah tuan hamba marah. Kerana tuan adalah Khatamul Anbiya maka tuan dapat kenal akan hamba. Kedatangan hamba adalah disuruh Allah untuk memberitahu segala tipu daya hamba terhadap umat tuan dari zaman Nabi Adam hingga akhir zaman. Ya Nabi Allah! Setiap apa yang tuan tanya hamba sedia menerangkan satu persatu dengan sebenarnya, tiadalah hamba berani sembunyikan.”
Maka Iblis pun bersumpah menyebut nama Allah dan berkata “Ya Rasulullah! Sekiranya hamba berdusta barang sepatah pun nescaya hancur leburlah badan hamba menjadi abu” Apabila mendengar sumpah Iblis itu, Nabi pun tersenyum dan berkata dalam hatinya, inilah satu peluang aku untuk menyiasat segala perbuatannya agar didengar oleh sekelian sahabat yang ada di majlis ini dan menjadi perisai kepada sekelian umatku.
Soalan Nabi (1) - “Hai Iblis! Siapakah sebesar-besar musuh engkau dan bagaimana aku terhadap engkau?”
Jawab Iblis - “Ya Nabi Allah! Tuanlah musuh hamba yang paling besar di antara segala musuh hamba di muka bumi ini” Maka Nabi pun memandang muka Iblis, dan Iblis pun mengeletar kerana ketakutan. Sambung Iblis,”Ya Khatamul Anbiya! Adapun hamba dapat merupakan diri hamba seperti sekelian manusia, binatang dan lain-lain hingga rupa dan suara pun tidak salah sepertinya, kecuali diri tuan sahaja yang tidak dapat hamba tiru kerana ditegah oleh Allah. Kiranya hamba menyerupai diri tuan, maka terbakarlah diri hamba menjadi abu. Hamba cabutkan iktikad anak Adam supaya menjadi kafir kerana tuan berusaha memberi nasihat dan pengajaran supaya mereka kuat untuk memeluk agama Islam; begitu jugalah hamba berusaha menarik mereka kepada kafir, murtad atau munafik. Hamba akan tarik sekelian umat Islam dari jalan benar kepada jalan yang salah supaya masuk ke dalam neraka dan kekal di dalamnya bersama hamba”
Soalan Nabi ke 2 - “Hai Iblis! Betapa perbuatanmu kepada makhluk Allah”
Jawab Iblis - “Adalah satu kemajuan bagi perempuan yang merenggangkan kedua pehanya kepada lelaki yang bukan suaminya, setengahnya hingga mengeluarkan benih yang salah sifatnya. Hamba goda segala manusia supaya meninggalkan sembahyang, leka dengan makan minum, berbuat durhaka, hamba lalaikan dengan harta benda daripada emas, perak dan permata, rumahnya, tanahnya, ladangnya supaya hasilnya dibelanjakan kejalan haram. Demikian juga ketika temasya yang bercampur lelaki perempuan. Di situ hamba lepaskan sebesar-besar godaan supaya hilang maruah dan minum arak. Apabila terminum arak itu maka hilanglah akal, fikiran dan malunya. Lalu hamba hulurkan tali cinta dan terbukalah beberapa pintu maksiat yang besar, datang perasaan hasad dengki hingga kepada pekerjaan zina. Apabila terjadi kasih antara mereka, terpaksalah mereka mencari wang hingga menjadi penipu, peminjam dan pencuri. Apabila mereka teringat akan salah mereka lalu hendak bertaubat atau amal ibadat, hamba akan galang mereka supaya mereka menangguhkannya. Bertambah keras hamba goda supaya menambahkan maksiat dan mengambil isteri orang. Bila kena goda hatinya, datanglaah rasa riak, takbur, megah, sombong dan melengahkan amalnya. Bila pada lidahnya, mereka akan gemar berdusta, mencela dan mengumpat. Demikianlah hamba goda mereka setiap saat.”
Soalan Nabi ke 3 - “Hai Iblis! Mengapa engkau bersusah payah dan berpenat melakukan pekerjaan yang tidak mendatangkan faedah bahkan menambahkan laknat yang besar serta siksa yang besar di neraka yang paling bawah? Hai kutuk Allah! Siapa yang menjadikan engkau? Siapa yang melanjutkan usia engkau? Siapa yang menerangkan mata engkau? Siapa yang memberi pendengaran engkau? Siapa yang memberi kekuatan anggota badan engkau?”
Jawab Iblis - “Sekelian itu adalah anugerah daripada Tuhan Yang Maha Besar juga. Tetapi hawa nafsu dan takbur menceburkan hamba menjadi sebesar-besar jahat. Tuan lebih tahu bahawa hamba telah beribu-ribu tahun menjadi ketua kepada sekelian Malaikat dan pangkat hamba telah dinaikkan dari satu langit ke satu langit yang tinggi. Kemudian hamba tinggal di dunia ini beribadat bersama sekelian Malaikat beberapa lama. Tiba-tiba datang firman Allah s.w.t. hendak menjadikan seorang Khalifah di dunia ini, maka hamba pun membantah. Lalu Allah mencipta lelaki (Nabi Adam) lalu dititahkan sekelian Malaikat memberi hormat kepada lelaki itu, kecuali hamba yang ingkar. Oleh itu Allah murka kpd hamba dan muka hamba yang cantik molek dan bercahaya itu bertukar menjadi keji dan hodoh. Hamba berasa sakit hati. Kemudian Allah menjadikan Adam raja di syurga dan dikurniakan seorang permaisuri (Siti Hawa) yang memerintah sekelian bidadari. Hamba bertambah dengki dan berdendam kepada mereka. Akhirnya dapat juga hamba tipu melalui Siti Hawa yang menyuruh Adam memakan buah Khuldi, lalu keduanya dihalau dari syurga ke dunia. Kedua mereka berpisah beberapa tahun dan kemudian dipertemukan Allah (di Padang Arafah), hingga mereka mendapat beberapa orang anak. Kemudian kami hasut anak lelakinya Qabil supaya membunuh saudaranya Habil. Itu pun hamba masih tidak puas hati dan berbagai tipu daya hamba lakukan hingga Hari Kiamat. Sebelum tuan lahir ke dunia, hamba serta bala tentera hamba dengan mudah dapat naik ke langit untuk mencuri segala rahsia serta tulisan yang menyuruh manusia berbuat ibadat serta balasan pahala dan syurga mereka. Kemudian hamba turun ke dunia, dan memberitahu manusia yang lain daripada apa yang sebenarnya hamba dapat, dengan berbagai tipu daya hingga tersesat dengan berbagai kitab bidaah dan karut-marut. Tetapi apabila tuan lahir sahaja ke dunia ini, maka hamba tidak dibenarkan oleh Allah untuk naik ke langit serta mencuri rahsia, kerana banyak Malaikat yang menjaga di setiap lapisan pintu langit. Jika hamba berkeras juga hendak naik, maka Malaikat akan melontar dengan anak panah daripada api yang menyala. Sudah banyak bala tentera hamba yang terkena lontaran Malaikat itu dan semuanya terbakar menjadi abu. Maka besarlah kesusahan hamba dan tentera hamba untuk menjalankan tugas hasutan.”
Soalan Nabi ke 4 - “Hai Iblis! Apakah yang pertama engkau tipu akan manusia?” Jawab Iblis - “Pertama sekali hamba palingkan iktikadnya imannya kepada kafir sama ada dari segi perbuatan, perkataan, kelakuan atau hatinya. Jika tidak berjaya juga, hamba akan tarik dengan cara mengurangkan pahala. Lama-kelamaan mereka akan terjerumus mengikut kemahuan jalan hamba”
Soalan Nabi ke 5 - “Hai Iblis! Jika umatku sembahyang kerana Allah, bagaimana hal engkau?”
Jawab Iblis - “Sebesar-besar kesusahan kepada hamba. Gementarlah badan hamba dan lemah tulang sendi hamba. Maka hamba kerahkan berpuluh-puluh iblis datang menggoda seorang manusia, pada setiap anggota badannya. Setengah-setengahnya datang pada setiap anggota badannya supaya malas sembahyang, was-was, terlupa bilangan rakaatnya, bimbang pada pekerjaan dunia yang ditinggalkannya, sentiasa hendak cepat habis solat, hilangkan khusyuknya - matanya sentiasa menjeling ke kiri kanan, telinganya sentiasa mendengar orang brcakap serta bunyi-bunyi yang lain. Setengah Iblis duduk di belakang badan orang yang sembahyang itu supaya dia tidak kuasa sujud lama-lama, penat atau duduk tahiyat dan dalam hatinya sentiasa hendak cepat habis sembahyang, itu semua membawa kpd kurang pahala. Jika para Iblis itu tidak dapat menggoda manusia itu, maka hamba sendiri akan menghukum mereka dengan seberat-berat hukuman”
Soalan Nabi ke 6 - “Jika umatku membaca Al-Quran kerana Allah, apalah rasa engkau?”
Jawab Iblis - “Jika mereka membaca Al-Quran kerana Allah, maka rasa terbakarlah tubuh hamba, putus-putus segala urat hamba lalu hamba lari daripadanya.”
Soalan Nabi ke 7 - “Jika umatku mengerjakan haji kerana Allah, bagaimana rasa engkau?”
Jawab Iblis - “Binasalah diri hamba, gugurlah daging dan tulang hamba kerana mereka telah mencukupkan rukun Islamnya”
Soalan Nabi ke 8 - “Jika umatku berpuasa kerana Allah, bagaimana hal engkau?”
Jawab Iblis - “Ya Rasulullah! Inilah bencana yang paling besar bahayanya kepada hamba. Apabila masuk awal bulan Ramadhan, maka memancarlah cahaya Arasy dan Kursi, bahkan sekelian Malaikat menyambut dengan kesukaan. Bagi orang yang berpuasa, Allah akan mengampunkan segala dosa yang lalu dan digantikan dengan pahala yang amat besar serta tidak dicatatkan dosanya selama dia berpuasa. Yang menhancurkan hati hamba ialah segala isi langit dan bumi; yakni Malaikat, bulan, bintang, burung dan ikan-ikan semuanya siang malam mendoakan keampunan orang yang berpuasa. Satu lagi kemuliaan orang berpuasa ialah dimerdekakan pada setiap masa dari azab neraka. Bahkan semua pintu neraka ditutup manakala semua pintu syurga dibuka seluas-luasnya, serta dihembuskan angin dari bawah Arasy yang bernama Angin Syirah yang amat lembut ke dalam syurga. Pada hari umat tuan mula berpuasa, dengan perintah Allah datanglah sekelian Malaikat dengan garangnya menangkap hamba dan tentera hamba; jin, syaitan dan ifrit lalu dipasung kaki dan tangan dengan besi panas dan dirantai serta dimasukkan ke bawah bumi yang amat dalam. Di sana pula beberapa azab yang lain telah menunggu kami. Setelah habis umat tuan berpuasa barulah hamba dilepaskan dengan amaran agar tidak mengganggu umat tuan. Umat tuan sendiri telah merasa ketenangan berpuasa seperti mana mereka bekerja dan bersahur seorang diri di tengah malam tanpa rasa takut berbanding bulan biasa.”
Soalan Nabi ke 9 - “Hai Iblis! Bagaimana sekelian sahabatku kepada engkau?”
Jawab Iblis - “Sekelian sahabat tuan hamba juga adalah sebesar-besar seteru hamba. Tiada upaya hamba melawannya dan tiada satu tipu daya yang dapat masuk kepada mereka. Kerana tuan sendiri telah berkata yang “Sekelian sahabatku adalah seperti bintang di langit, jika kamu mengikut mereka, maka kamu akan mendapat petunjuk.” Saidina Abu Bakar al-Siddiq sebelum bersama tuan lagi, hamba tidak dapat hampir kepadanya inikan pula setelah berdamping dengan tuan. Beliau begitu percaya atas kebenaran tuan hingga dia menjadi wazirul a’zam. Bahkan tuan sendiri telah mengatakan jika ditimbang sekelian isi dunia ini dengan amal kebajikan Abu Bakar, maka akan lebih berat amal kebajikan Abu Bakar. Tambahan pula dia telah menjadi mertua tuan kerana tuan berkahwin dengan anaknya, Saiyidatina Aisyah yang juga banyak menghafaz Hadis tuan. Saiyidina Umar Al-Khattab pula tidaklah berani hamba pandang akan wajahnya kerana dia sangat keras menjalankan hukum syariat Islam dengan saksama. Jika hamba pandang wajahnya, maka gementarlah segala tulang sendi hamba kerana sangat takut. Ini kerana imannya sangat kuat apalagi tuan telah mengatakan, “JIKALAU adanya Nabi sesudah aku maka Umar boleh menggantikan aku” kerana dia adalah orang harapan tuan serta pandai membezakan antara kafir dan Islam hingga digelar ‘Al-Faruq’. Saiyidina Usman Al-Affan lagi hamba tidak boleh hampir, kerana lidahnya sentiasa bergerak membaca Al-Quran. Dia penghulu orang sabar, penghulu orang mati syahid dan menjadi menantu tuan sebanyak dua kali. Kerana taatnya, banyak Malaikat datang melawat dan memberi hormat kepadanya kerana Malaikat itu sangat malu kepadanya hingga tuan mengatakan,”Barang siapa menulis Bismillahir rahmanir rahim pada kitab atau kertas-kertas dengan dakwat merah, nescaya mendapat pahala seperti pahala Usman mati syahid” Saiyidina Ali Abi Talib pun itu hamba sangat takut kerana hebatnya dan gagahnya dia di medan perang, tetapi sangat bersopan, alim orangnya. Jika iblis, syaitan dan jin memandang beliau, maka terbakarlah kedua mata mereka kerana dia sangat kuat beribadat serta beliau adalah budak pertama memeluk agama Islam dan tidak pernah menunduk kan kepalanya kepada sebarang berhala. Digelar ‘Ali Karamullahu Wajhahu’ - dimuliakan Allah akan wajahnya dan juga ‘Harimau Allah’ dan tuan sendiri berkata “Akulah negeri segala ilmu dan Ali itu pintunya”. Tambahan pula dia menjadi menantu kepada tuan, lagilah hamba ngeri kepadanya.
Soalan Nabi ke 10 - “Bagaimana tipudaya engkau kepada umatku?”
Jawab Iblis - “Umat tuan itu ada tiga macam. Yang pertama seperti hujan dari langit yang menghidupkan segala tumbuhan iaitu ulama yang memberi nasihat kepada manusia supaya mengerjakan perintah Allah serta meninggalkan laranganNya seperti kata Jibrail a.s “Ulama itu adalah pelita dunia dan pelita akhirat” Yang kedua umat tuan seperti tanah iaitu orang yang sabar, syukur dan redha dengan kurniaan Allah. Berbuat amal soleh, tawakal dan kebajikan. Yang ketiga umat tuan seperti Firaun; terlampau tamak dengan harta dunia serta dihilangkan amal akhirat. Maka hamba pun sukacita lalu masuk kedalam badannya, hamba putarkan hatinya ke lautan derhaka dan hamba hela ke mana sahaja mengikut kehendak hamba. Jadi dia sentiasa bimbang kepada dunia dan tidak hendak menuntut ilmu, tiada masa beramal ibadat, tidak hendak mengeluarkan zakat, miskin hendak beribadat. Lalu hamba godanya minta kaya dulu, dan apabila diizinkan Allah dia menjadi kaya, maka dilupakan beramal, tidak berzakat seperti Qarun yang tenggelam dengan istana mahligainya. Bila umat tuan terkena penyakit tidak sabar dan tamak, dia sentiasa bimbang akan hartanya dan setengahnya asyik hendak merebut dunia harta, cakap besar sesama Islam, benci dan menghina kepada yang miskin, membelanjakan hartanya untuk jalan maksiat, tempat judi dan perempuan lacur”
Soalan Nabi ke 11 - “Siapa yang serupa dengan engkau?”
Jawab Iblis - “Orang yang meringankan syariat tuan hamba dan membenci orang belajar agama Islam”
Soalan Nabi ke 12 - ” Siapa yang mencahayakan muka engkau?”
Jawab Iblis - “Orang yang berdosa, bersumpah bohong, saksi palsu, pemungkir janji”
Soalan Nabi ke 13 - “Apakah rahsia engkau kepada umatku?”
Jawab Iblis - Jika seorang Islam pergi buang air besar serta tidak membaca doa pelindung syaitan, maka hamba gosok-gosokkan najisnya sendiri ke badannya tanpa dia sedari”
Soalan Nabi ke 14 - “Jika umatku bersatu dengan isterinya, bagaimana hal engkau?”
Jawab Iblis - “Jika umat tuan hendak bersetubuh dengan isterinya serta membaca doa pelindung syaitan, maka larilah hamba dari mereka. Jika tidak hamba akan bersetubuh dahulu dengan isterinya, dan bercampurlah benih hamba dengan benih isterinya. Jika menjadi anak maka anak itu akan gemar kepada pekerjaan maksiat, malas pada kebaikan, durhaka. Ini semua kerana kealpaan ibu bapanya sendiri. Begitu juga jika mereka makan tanpa Bismillah, hamba yang dahulu makan daripadanya. Walaupun mereka makan, tiadalah rasa kenyang.”
Soalan Nabi ke 15 - “Dengan jalan apa boleh menolak tipu daya engkau?”
Jawab Iblis - “Jika dia berbuat dosa, maka dia kembali bertaubat kepada Allah, menangis kesal akan perbuatannya. Apabila marah segeralah mengambil air sembahyang, maka padamlah marahnya.”
Soalan Nabi ke 16 - “Siapakah orang yang paling engkau lebih suka?”
Jawab Iblis - “Lelaki dan perempuan yang tidak mencukur atau mencabut bulu ketiak atau bulu ari-ari(bulu kemaluan) selama 40 hari. Di situ lah hamba mengecilkan diri, bersarang, bergantung, berbuai seperti pijat pada bulu itu”
Soalan Nabi ke 17 - “Hai Iblis! Siapakah saudara engkau?”
Jawab Iblis - “Orang yang tidur meniarap, orang yang matanya celik di waktu subuh tetapi menyambung tidur semula. Lalu hamba ulit dia lena hingga terbit fajar. Demikian jua pada waktu zohor, asar, maghrib dan isyak, hamba beratkan hatinya untuk solat”
Soalan Nabi ke 18 - “Apakah jalan yang membinasakan diri engkau?”
Jawab Iblis - “Orang yang banyak menyebut nama Allah, bersedekah dengan tidak diketahui orang, banyak bertaubat, banyak tadarus Al-Quran dan solat tengah malam”
Soalan Nabi ke 19 - “Hai Iblis! Apakah yang memecahkan mata engkau?”
Jawab Iblis - “Orang yang duduk di dalam masjid serta beriktikaf di dalamnya”
Soalan Nabi ke 20 - “Apa lagi yang memecahkan mata engkau?”
Jawab Iblis - “Orang yang taat kepada kedua ibubapanya, mendengar kata mereka, membantu makan-pakai mereka selama mereka hidup, kerana tuan telah bersabda,’Syurga itu di bawah tapak kaki ibu’
Ya Allah..peliharalah kami daripada tipu daya syaitan dan dajjal laknatullah.
Tuesday, September 22, 2009
Ratu Sufiah(bahagian akhir)
‘Dalam segala sesuatu ada sebuah tanda, Sebuah kunci bahawa ‘Dia adalah satu’ -Fakhruddin ‘Iraqi
Teringat kepada dialog yang pernah berlaku di antara penghulu sufiah pada abad ke 8 ,Rabiatul Adawiah dan khadamnya.
“Sekarang ini musim bunga,Rabiah.Kenapa tidak keluar dan melihat keindahan ciptaan Allah s.w.t?”soal khadamnya.
“Kenapa tidak masuk ke dalam,wahai gadis pelayan dan lihatlah Yang Esa yang menciptakan semua itu-tersingkap semua ,tanpa tabir”balas Rabiah.
Subhanallah!!!
Oh,Allah.Perjalanan ini panjang.Lautan ini dalam.Aku seperti para salik di sini juga.Percaya pada harapan yang tinggi.Bilamana muncul harapan sebegini ,secara alamiah jiwa akan berusaha keras memandang ke langit dan mengarah pada hal-hal yang tersembunyi dalam diri di sebalik kondisi-kondisi yang mengongkong diri,dengan harapan aku juga mahu berkesempatan untuk merasakan wewangian dan kurniaan spiritual yang tersembunyi di dalam diri sebagai lampu tangan untuk menerangi perjalananku menyelami lautan keabadian rahsia hakikat tentang Ilahi.
‘Ketika aku terus mengetuk pintu Tuhan
Kutunggu sepenuh kesedaran ,tidak tergoda,
Hingga di sana muncul mata kemuliaan
Dari wajahnya dan sebuah panggilan buatku,hanya
Kusertakan mengada dalam pengetahuan
Tak ada sesuatu pun dalam hatiku,kecuali Tuhan’ -Syeikh Al-Akbar Ibn Al-Arabi Futuhat Al-Makkiyah
Aku menghentikan tafakkur alamku.Kembali memandang ke dalam.Plastik yang berisi dua ekor ayam yang sudah siap dipotong kupandang sekilas.Selesai gotong royong pagi tadi,aku bergegas ke pasar tani.Hari ini aku perlu menunaikan permintaan Nafha,adik pondokku yang dua tahun muda daripadaku untuk menyediakan menu masakan ayam untuknya.Pelik.Katanya,jika aku masakkan menu ayam untuknya pada hari ini,dia akan mengambil alih giliranku membersihkan pondok kami selama seminggu.Macam-macam,desisku sambil tersenyum sendirian.Aku membuka tudung periuk.Ikan rebus yang direbus semalam belum lagi luak.Nasi yang ditanak di dalam rice cooker pun belum juga luak.Aku mula meneliti bahan-bahan masakan yang ada.Fikiranku ligat memikirkan sesuatu.Tiba-tiba,salam kedengaran dan bunyi derap langkah kaki seseorang membuatkan aku berpaling ke belakang seketika.Derap-derap langkahnya membuatkan lantai papan yang sudah usang sedikit berkeriut.Nafha muncul dengan lenggang-lenggoknya yang tersendiri.Aku melemparkan secalit senyuman untuknya.
“Nafha dari mana ?Akak tak nampak pun masa gotong royong tadi,”aku melemparkan soalan untuk berbasi-basa.
“Nafha pergi ziarah kubur arwah Ustaz Atiqullah pagi tadi.Dah lama tak pergi ziarah.Alhamdulillah,sempat hadiahkan bacaan Yaasin dan bertawassul kat situ,”ujarnya sambil tersenyum.Mendengar jawapannya,aku teringat akan kebiasaan pelajar –pelajar pondok yang suka bertawassul di situ.
“Awalnya.Akak cadang nak pergi lepas ni.Sempat tak?”soalku lagi
“Tak sempat dah,kak.Waktu ni,giliran pelajar muslimin pula yang datang.Nafha pergi ziarah awal tadi sebab takut bertembung dengan diorang lah.Biasanya pukul sembilan hingga sebelas,kawasan kubur dah penuh.Cuba akak tengok,”ujarnya sambil membuka luas jendela dapur yang menghala ke arah kawasan perkuburan yang hanya terletak di belakang pondok kami.
Aku menjenguk ke arah jendela. Kelihatan segerombolan pelajar muslimin yang berjubah dan berserban serba putih sedang mengelilingi kawasan kubur arwah Ustaz Atiqullah.Di belakang mereka,muncul pula satu kumpulan yang berpakaian sama..Turut serta di hadapan mereka ialah Tok Guru pondok yang sudah uzur yang terpaksa dibawa dengan kerusi roda.
“Emm....tak pelah.Petang nanti kot.Petang ni kita tak menadah kitab ,kan?”soalku.
“Macam nilah,kak.Err...Nafha bawa akak ziarah kubur waktu malam ni.Lepas Isyak.Setuju?”soalnya serius tiba-tiba.Aku memandangnya dengan ekspresi wajah yang semacam.
“Apa ni?Ajak orang ziarah kubur malam-malam.Tak ada kerja ke?”soalku kembali.Tiba-tiba ketawanya pecah.Aku jadi malu sendirian.
“Aaa...kan dah takut!!Cantiknya muka macam tu,”ujarnya sambil ketawanya meletus perlahan.Aku menarik muka empat belas.
“Taklah.Saja nak uji akak.Rupa-rupanya akak ni penakut ,ya.Nak jadi orang sufi tak boleh ada sifat takut,tau,”ujarnya sambil tersenyum memanjang.
“Tak takut pun.Cuma akak fikir ,cadangan tu macam tak munasabah je”aku mempertahankan diriku sendiri.
“Apa yang tak munasabah ,kak?Perkara macam tu dah jadi biasa kat sini.Ziarah kubur ni melembutkan hati.Kalau disertai dengan tafakkur yang betul,hati kita yang keras ni memang jadi betul-betul lembut,”ujarnya bersungguh-sungguh.
“Yang tu akak tahu.Orang –orang soleh dulu macam Rabi’ bin Khutsaim pernah gali liang kubur kat rumah dia.Bila dia rasa hati dia keras,dia akan masuk dalam kubur tu dan bertafakkur seolah-olah dia sudah meninggal.Barulah hati dia jadi lembut kembali,”ujarku sambil bercerita.
“Kalau macam tu,jom kita buat macam dia.Atau sekurang-kurangnya kita pergi tafakkur kat kubur malam ni.Jomlah,Nafha dah biasa buat macam tu,”ujarnya seolah-olah mendesakku.Aku memandang padanya sambil separuh tersenyum.Cadangan yang tidak munasabah untuk dilaksanakan oleh seorang wanita .Tapi,boleh juga...sebagai salah satu inovasi terbaru untuk tarbiah hati,ngomelku sendirian.Aku kembali merenung jauh kawasan kubur yang akan menjadi destinasi keduaku nanti.Terbayang saat-saat sakarat dan alam barzakh yang wajib kutempuhi nanti.Alam itu adalah pintu pertama untuk melangkah ke alam akhirat.Selamat hidupku di situ,selamatlah hidupku di akhirat nanti.Mengingatkan itu semua,tiba-tiba terbit rasa gerun di hati.Aku kembali memandang Nafha dan mengangkat keningku sebagai tanda setuju.Akhirnya dia tersenyum lebar.
“Hmm...bestnya menu makanan kita hari ni.Akak nak masak apa ni?”soalnya sambil menilik plastik yang berisi potongan-potongan ayam .
“Buat apa lagi?Nak sediakan menu ayam untuk permaisuri pondok yang seorang ni la.Kenapa?Nak tolong masakkan ke?”soalku sambil mengisi air ke dalam cerek untuk direbus.Dia tersengih memanjang.
“Eh,mana boleh.Kan akak dah janji yang akak nak masak hari ni.Akak tak boleh mungkir janji tau .Nanti jadi orang munafik”jawabnya sambil mengangkat jari telunjuknya seolah-olah untuk mengingatkanku.Aku ketawa kecil.Adikku yang seorang ini manja wataknya.
“Nafha,menu makanan kita ni mewah sebenarnya.Kalau kenyang sangat,nanti susah ilmu nak masuk.Kakak-kakak pondok dulu tak makan macam ni.Diorang cuma isi perut berlaukkan ikan rebus saja.Dengan ikan rebus macam tulah,diorang boleh menadah sampai boleh balik mengajar masyarakat kampung.Tak macam pelajar pondok sekarang,”aku memuntahkan kembali bobelan ketua pelajar yang pernah kudengar.
“Alah,akak ni.Bukannya selalu kita makan macam ni.Sebenarnya Nafha ada berniat nak jamu masakan ni untuk pelajar-pelajar muslimat.Lagipun hari ni kan hari Jumaat.Nafha suruh akak masak sebab Nafha tak pandai nak masak masakan ayam begini.Yalah,hari-hari makan ulam je,”responnya meleraikan kekusutan di fikiranku.
“Oh,macam tu.Kenapa tak cakap awal-awal?Tak pelah,nanti kalau dah siap,bawa naik semangkuk ke rumah Tok Guru,baru boleh bahagikan untuk kawan-kawan,ye,”aku mengingatkannya.Dia mengangguk sambil tersenyum.
“Tapi,kita nak masak apa sebenarnya ni?”soalnya kembali.Aku diam seketika.
“Kita buat ayam masak pedas.!Senang.Lagipun bahan-bahannya ada ni,”aku merespon .Dia mengangguk setuju.
“Haa...apa lagi!Tolonglah bersihkan ayam tu dulu.Lepas tu,toskan.Akak nak goreng ikan rebus ni sikit.Nanti membazir,”ujarku sedikit menyergahnya.Dia jadi terkebil-kebil seketika sebelum melangkah ke sink.Aku menyalakan api dapur untuk memanaskan minyak di dalam kuali.Sambil menunggu minyak meruap panas,aku memerhatikan Nafha yang mula ralit membersihkan ayam di sink
“Nafha,boleh akak tanya sesuatu?Tentang Kak Sufi.Semalam akak jumpa dia kat madrasah.Siapa sebenarnya Kak Sufi tu?Acapkali akak dengar pelajar-pelajar kat sini sebut nama dia,”soalku.
“Oh..akak dah jumpa dia semalam,ya.Kak Sufi?Kak Sufi tu istimewa orangnya,”ujar Nafha ringkas.Aku memandang kuali yang sudah panas.Lalu seekor demi seekor ikan kurendamkan ke dalam kuali berminyak itu.
“Aduh....astaghfirullah!!,”tiba-tiba terlatah perkataan itu tatkala minyak panas itu sedikit ‘meletup’ lalu terkena pada dahi.Nafha memandangku sekilas lantas tersenyum.
“Akak ni macam tak biasa goreng ikan pulak.Kalau minyak ‘meletup’ macam tu,akak boleh taruh dua keping asam gelugor.Insya-Allah,takkan ‘meletup’ punya,”dalam situasi begitu ,sempat lagi dia mengenakan aku.
“Bukan tak biasa goreng ikan.Yalah,akak ni kan pelajar universiti,Nafha kan pelajar pondok.Hari- hari mengadap periuk dan kuali.Akak ni kat universiti,hari-hari mengadap bekas polistrin,”ujarku merendah diri sambil melontarkan alasan yang tidak ‘ideal’ untuk saat-saat begini.Dia ketawa kecil.
“Oh,ya.Kita cakap pasal apa tadi?Tentang Kak Sufi,kan?Apa yang istimewanya Kak Sufi tu?”aku mengadapnya kembali.Berharap agar persoalanku tentang Kak Sufi terjawab. “A’aah.Memang Kak Sufi istimewa bagi warga pondok di sini.Dia tu seorang sufiah sejati,kak.Asal keturunannya daripada keluarga pejuang Islam kat Selatan Thailand.Datuk dia syeikh tareqat kat sana.Banyak menulis kitab tentang feqah dan tasawuf.Memang sejak kecil,dia dididik dengan didikan dan suasana orang-orang sufi.Bertuahnya dia,kan.Kebanyakan pelajar-pelajar kat sini ,susur galurnya daripada keturunan alim-ulama yang mengamalkan tasauf dalam kehidupan.Sebab tu,tak hairanlah kalau diorang ni bersungguh-sungguh untuk menjadi orang sufi disebabkan benih tasawuf tu dah tertanam dalam diri sejak kecil lagi.Kalau akak,macam mana pula?”ceritanya yang mula menarik perhatianku diakhiri dengan satu soalan. “Hmm?Betullah tu,”responku ringkas tanpa menjawab soalannya tadi.Dia terdiam lantas menyambung kembali.
“Walaupun Kak Sufi tu berasal dari keturunan yang mulia,dia tak pernah menyebut-nyebut tentang kebaikan mahupun keistimewaan diri dan keluarganya apatah lagi untuk memuliakan keluarganya di depan orang lain.Dia seorang yang sangat merendah diri.Dia tinggal kat pondok ni sejak umur belum mencapai belasan tahun lagi.Sejak lepas baligh,dia tak pernah tinggal solat tahajjud.Kalau ada pelajar-pelajar yang terbangun waktu tengah malam,diorang boleh tengok cahaya lilin yang Kak Sufi pasang dari awal tengah malam hingga rapat subuh.Sebab tu,sinar muka dia bercahaya pelik.Satu lagi kak,tempat dia selalu solat tu berbau sangat harum.Kak Sufi sendiri pun tak tahu,dari mana datangnya bau harum tu,”Nafha menerangkannya dengan panjang lebar.Aku yang mendengarnya jadi termangu-mangu.Segera ku menoleh ke kuali lantas mencapai pinggan untuk mengangkat semula ikan rebus yang digoreng tadi.
“Lagi?”aku bertanya terus.Bahan-bahan masakan yang telah tersedia kupandang kembali.Dua cawan cili kering mula kubersihkan lalu dimesin dengan sedikit belacan.Siap.Satu cawan setengah campuran bawang merah dan bawang putih pula kumesin lagi sehingga lumat.Selesai.
“Biasanya pelajar-pelajar kat sini akan minta Kak Sufi buat kuliah khusus untuk maddah tasauf yang ustaz Mat dah ajar sebelum ni.Macam kitab –kitab golongan mubtadi’ para sufiah , kitab Hidayatus Salikin dan kitab-kitab tauhid yang lain.Kakak-kakak yang lain pun ramai lagi yang layak ,tapi pelajar-pelajar kat sini lebih suka kalau Kak Sufi yang ajar.Entahlah,kak.Dia tu sangat berpengaruh.Kata-katanya biasa saja tapi sangat menusuk jiwa sesiapa yang dengar.Bukannya Nafha nak agung-agungkan dia,tapi setiap kali dia mengajar,majlis tu seakan-akan jadi macam majlis muhasabah pulak.Ramai yang menangis.Ada sekali tu,dia bincang tentang tajuk taubat.Masya-Allah,lutut ni bergetar bila dengar Kak Sufi cerita tentang hakikat taubat yang sebenar.Bukan Nafha seorang je rasa macam tu,kawan-kawan yang lain pun begitu juga.Kak,salahkah kita kagum lebih-lebih pada manusia sebegitu?”ceritanya yang panjang diakhiri dengan satu soalan.Nampaknya dapur ni akan bertukar menjadi medan ilmu ,hatiku berbisik.Tak apa,pembinaan budaya ilmu sebenarnya tidak mengira waktu dan tempat. “Kagum pada manusia tu tak salah.Apatah lagi kalau keistimewaan dan kebaikannya itu kita jadikan qudwah.Lagilah ahsan.Yang salahnya,kita terlalu menilik makluk sehingga lupa pada yang Menciptanya.Nafha,orang yang suka bertahajjud ni Allah bagi dia hikmah dalam berkata-kata.Itu salah satu kelebihannya.Satu lagi,tak sama orang yang tahu dan faham tentang tarbiah hati dengan orang yang pernah merasai dan melalui tarbiah hati itu sendiri.Jauh bezanya.Ramai orang boleh syarah tentang kelebihan menangis mengenangkan dosa tapi tak ramai yang mampu menghayatinya.Yang mampu menghayatinya itulah yang boleh membuatkan orang lain pun boleh menangis bila mendengarnya.Tangisan dan kesedaran hati itu salah satu sunnah dan ciri-ciri majlis dakwah Rasulullah s.a.w,”aku menjawab lebar sambil memanaskan minyak di dalam kuali yang lain.Minyak mula meruap panas.Bahan-bahan yang telah siap dimesin tadi kumasukkan di dalam kuali untuk ditumis.Bahan tumisan itu kukacau supaya jadi sebati.Bau tengik mula menguasai suasana.Aku dan Nafha terbersin beberapa kali.
“Betul tu,kak.Macammana kita nak sedar dan hidupkan hati orang lain padahal hati kita sendiri yang tak sedar dan mati.Hati ni hanya boleh disentuh dengan hati sahaja.Hati dan jiwa insan yang keras tak mampu sedarkan hati orang lain apatah lagi untuk membaiki suasana keadaan,”dia menambah.Emm,betul sekali ujarannya.Fikiranku menerawang teringat pada Kak Sufi lagi.Ada soalan yang tertinggal yang belum terjawab tentang dirinya.
“Macammana Kak Sufi boleh kahwin dengan suaminya tu?Hairan,pelajar pondok sebegitu dapat jodoh dengan pelajar dari Azhar.Biasanya akak dengar,pelajar muslimat kat sini dijodohkan dengan pelajar lelaki pondok juga,”aku melemparkan soalan yang ghorib.
“Emm,panjang ceritanya kak.Tak ada perkara yang mustahil dalam dunia ni.Akak suka menulis,kan.Kalau akak boleh buat novel tentang kisah dia,lagi bagus.Sebelum tu,Nafha nak tanya akak,kalau Allah taqdirkan akak kahwin dengan budak pondok,macammana?”tiba-tiba terpacul soalan sebegitu dari bibirnya.Ini soalan cepu emas ni,bisikku.Aku tersenyum sambil menggeleng-gelengkan kepala.Soalannya aku tinggalkan bergelandangan begitu sahaja. “Inilah masalahnya orang-orang kita.Pandang rendah pada pelajar-pelajar pondok...”tiba-tiba dia melemparkan tuduhan.
“Isy,..akak tak cakap pun yang akak takkan terima.Apatah lagi nak pandang rendah pada pelajar-pelajar pondok ni,”aku membetulkan tuduhan.Bau bahan tumisan semakin meruap naik.Aku membuat isyarat supaya Nafha menghulurkan bekas potongan ayam yang sudah siap ditos tadi.Nafha menghulurkan bekas tadi lantas kucampurkan dengan hati-hati.
“Nafha tak tuduh akak.Tapi,kebanyakkan orang luar pandang remeh pada pelajar pondok.Sebenarnya,siapalah tahu,di sebalik kopiah dan serban yang melilit,di sebalik baju melayu dan kain sarung yang lusuh,di sebalik jubah,tudung labuh dan niqob yang menutup wajah,barangkali mereka yang lebih arif tentang Allah.Rahsia ilmu Allah ada dalam genggaman mereka.Walaupun nampak pakaian dan diri selekeh,tapi ilmu mereka tak selekeh macam pelajar universiti.Pelajar universiti ni pakai je kemas,tapi ilmu fardhu ain belum tahu lagi setakat mana kemasnya.Tak gitu?”soalannya berakhir dengan nada tanya yang nakal.Aduh,berdesing telingaku.Gadis ini pandai berkata-kata.Aku tahu,dia tak berniat untuk menyakiti hatiku.Barangkali mahu membuktikan kebenaran tentang diri mereka sendiri. “Well......barangkali betul,barangkali tidak,”aku menjawab ujarannya dengan respon yang sederhana.Tidak mahu melulu menta’kidkan kata-katanya.Sebarang kenyataan perlukan bukti.Kalau tiada bukti tulisan,memerhati pun memadai tapi perlu benar-benar disuluh dengan hati yang bersih dari kuman-kuman terutama penyakit syirik khofi.Hati mukmin yang sudah dan sangat bersih itu,kan tersingkap hijab hatinya lantas terzahir rahsia kerajaan langit dan bumi milik Allah s.w.t
“Nanti kita boleh bincangkan balik fenomena ni.Akak pun dah lama fikir hal ni.Tak pelah,sekarang kita berbalik pada cerita Kak Sufi tadi,”ujarku mengalihkan topik perbualan.Tampak dia berfikir sesuatu.Barangkali di noktah mana dia harus bermula.Aku memandang kembali ke dalam kuali.Ayam kelihatan sudah empuk.Aku memasukkan air asam jawa,garam ,gula dan serbuk perasa secukup rasa.
“Akak mungkin tak tahu,dulu pelajar-pelajar muslimat kat sini jadi rebutan para muslimin kat luar.Bukan saja direbut oleh pelajar muslimin pondok,bahkan oleh pelajar-pelajar universiti.Bukan apa,kak.Kakak-kakak dulu berkualiti tinggi.Ilmu dan pengamalan agama dalam diri cukup mantap dan teguh.Ditambah lagi dengan akhlak dan budi pekertiyang mulia.Macam Kak Sufi tulah.Kak Sufi tu asalnya tak nak kahwin.Dia ada sebut tentang hasrat ni pada teman rapat dia.Yalah,kak.Orang nak serius amal ilmu tasauf kat sini,betul-betul nak jadi sufiah,nak duduk bersama dengan Allah sentiasa,perlu mujahadah untuk bunuh nafsu,”ujarnya serius.Aku tersentak.
“Astaghfirullah....Nafha salah guna perkataan kot!Mana boleh kita bunuh nafsu.Nafsu kalau dibunuh,ia akan mati.Susah kita nanti,terpaksa cari ginseng....”ujar aku sedikit melawak.Wajahnya yang serius tadi mula bertukar warna.Akhirnya dia tersenyum.Aku menyambung.
“Kita memang tak boleh bunuh nafsu,dik.Kalau kawal,boleh.Allah dah ciptakan manusia ni berbeza daripada malaikat.Perbezaan kita dengan mereka sebab ada nafsu dan keinginan.Nafsu tu memang selalu suruh kita buat kejahatan.Sebab tu,Allah suruh kekang dan salurkan nafsu ikut syariat.Nabi beribadat,tapi dia pun berkahwin bahkan baginda sendiri suka pada wanita yang solehah.Kan ada dalam hadis,tiga perkara dunia yang Baginda suka-solat,wanita solehah dan wangian.Kadang-kadang yang beramal tasauf ni ada yang ghulul dalam beramal.Ini satu masalah.Kadang-kadang boleh bawa fitnah pada masyarakat,”aku membetulkan persepsinya.
“Akak,yang tu Nafha tahu.Tapi,akak sendiri tahu,kan.Rasa tak nak kahwin dan menolak lelaki dalam hidup adalah sebahagian sifat hati semasa proses mujahadah nafsu.Sifat hati sebegini akan berlaku apabila kita berusaha untuk meletakkan nama Allah terhujum kuat dalam hati.Maka ,keinginan kepada aghyar yang lain akan terhapus,”dia membalas.
“Ya,betullah tu.Itulah yang dinamakan sebagai ‘maqom tajrid’,”aku mengiyakannya.Bau harum mula menguasai suasana.Aku menilik kembali ke arah kuali.Ok dah kot ni,aku berkira-kira sendirian.Segera kuangkat kuali ke atas para dengan hati-hati.
“Maqom tajrid?Maqom macammana tu?”dia menyoalku kembali.
“Maqom tajrid ni macam keadaan Kak Sufi tu lah.Kita pun mungkin melaluinya.Salah satu sifat kalau kita berada dalam maqom ni ialah kita tidak cenderung kepada jantina yang berlainan jenis.Sebab bagi kita,itu adalah sebahagian daripada penghalang untuk Wasil Ilallah.Jadinya,kita akan sedaya-upaya untuk menjauhkan diri daripada mendekati perkahwinan.Takutnya bila dah kahwin,kita akan terikat dengan pelbagai tanggungjawab sehingga hadaf kita untuk Wasil Illalh terhenti separuh jalan.Natijahnya,perjalanan kita akan jadi lembap.Sering saja diganggu oleh perasaan malas,payah,lesu ,letih.So,kalau dah dikuasai oleh perasaan-perasaan macam tu,macamana nak masuk bidang zauk dan wujdan,”terangku panjang lebar.
“Ohh...macam tu.Patutlah ramai sufiah kat sini tak nak kahwin.Tapi,memang setiap orang akan lalui maqom ni ke?”soalnya kembali.
“Tak juga.Kalau Allah bagi kekuatan dalam diri seseorang tu,perkara sebegini tidak menjadi masalah.Kalau suami atau isteri tu seorang ‘pejalan’ di jalan Allah juga,itu sangat bagus kerana masing-masing dapat membantu antara satu sama lain .Tak minatlah nak bincang perkara ni.Kita sambung balik cerita tentang Kak Sufi tadi,”aku mengalihkan topik perbualan.Mataku menangkap sesuatu di dalam plastik.Segera kumerancang sesuatu.
“Nanti sekejap,Nafha.Tolong tukar minyak dalam kuali yang akak goreng ikan rebus tadi”ujarku sambil mengarah.
“Nak buat apa pula ni?”soalnya kembali.
“Hmm...terfikir nak goreng telur dua biji.Boleh,kan?”soalku.Nafha mengangguk lantas mengisi minyak yang baru di dalam kuali.
“Kenapa tak campur dengan minyak tadi?Kan jimat sikit,”soalnya lagi.Aku memandang wajahnya.Hairan.
“Jimat?Ini bukan soal nak jimat.Ini soal kesihatan.Sebenarnya tak berapa bagus kita guna kembali minyak masak sebelum ni.Risikonya,kita boleh dapat kanser.Wanita kan paling ramai kena penyakit kanser ni,”responku kembali.Demi mendengar perkataan ‘kanser’,wajahnya mula berubah.Aku tersenyum melihat wajahnya.
“Emm..sambung balik,ye.Tadi Nafha cerita,Kak Sufi tu tak nak kahwin ,kan.Kak Sufi ni ada bakat keistimewaannya tersendiri.Dia pandai menjahit baju.Jahitannya sangat halus dan teliti.Nak jadi cerita,ada seorang makcik yang tinggal kat kawasan belakang pondok ni tempah baju daripada Kak Sufi,”dia menghentikan ceritanya.Mengambil nafas.
“Lepas tu?”aku bertanya lanjut.
“Kebetulan antara baju-baju yang ditempah tu adalah untuk anak lelakinya yang belajar kat Universiti al-Azhar.Bila dah siap,baju tu dihantar ke sana.Masa tulah,barangkali anak lelakinya tertarik dengan kehalusan jahitan Kak Sufi.Terus saja dia istikhoroh dan masuk risik melalui emaknya,”dia berhenti lagi.Aku termangu-mangu untuk mendengar ceritanya lagi. “Kemudian?”aku bertanya seolah-olah tidak sabar.
“Kemudian,datanglah rombongan meminang .Sebenarnya ,itu bukan pinangan kali pertama.Dah banyak kali dah lelaki datang meminang terutama pelajar lelaki kat pondok ni,tapi semuanya ditolak mentah-mentah.Masa tu,hati dia memang nekad tak nak kahwin.Nak tumpukan ubudiyyah pada Allah semata-mata.Memang dia tu sufiah sejati betullah,kak.Memang tak ada keinginan nak kahwin langsung.Bila rombongan tu datang untuk kali kedua,Tok Guru sendiri bercakap dengan Kak Sufi.Kak Sufi ni anak yatim piatu,tak de orang jaga.Cuma mengharap belas kasih sayang daripada keluarga Tok Guru.Keluarga Tok Guru memang sangat sayangkan dia sebab dah anggap macam anak sendiri.Kata Kok Guru,awak ni dah ramai dipinang orang,tapi semua awak tolak.Awak nak lelaki macam mana lagi atau apa lagi yang awak nak?Awak tu pelajar paling lama kat sini.Kawan-kawan yang sebaya dengan awak semua dah berumahtangga.Bukan Tok Guru tak nak jaga Kak Sufi lagi,tapi Tok Guru suruh Kak Sufi fikir masa depannya sendiri.Masa tu,Kak Sufi memang betul-betul menangis depan Tok Guru.Akak tahu,dia jawab apa kat Tok Guru kita?”dia melemparkan soalan dalam nada yang bersungguh-sungguh.
“Apa dia?”aku bertanya lanjut.
“Dia kata,hati saya dah diresap dengan cinta Allah.Allah membuatkan hati saya kaku.Kaku untuk melihat makhluknya.Allah membuatkan anggota tubuh saya lumpuh.Lumpuh untuk mengenal selainNya.Tok Guru tak faham hati saya.Saya tak ingin dan tak berhajat pada lelaki.Mana mungkin dua cinta bersemayam dalam satu hati.Kalau pun bersemayam,cinta Allah yang akan menguasai hati ini.Cinta makhluknya yang satu lagi akan tenggelam.Saya bimbang untuk menjalani kehidupan bersama lelaki tanpa perasaan,”Nafha memuntahkan kembali dialog yang memang disimpan dalam kotak ingatan.Seolah-olah dihafal.
“Subhanallah..,”hanya kalimat itu yang keluar dariku.Terasa bulu romaku meremang saat ini.
“Lepas tu,Tok Guru pujuk dia balik.Pujuk dengan ilmu.Tok Guru kata,kita kena ambil juga syurga dunia ni.Macam-macam lagilah Tok Guru cakap pasal kelebihan berkahwin ni.Tok guru pun ada ingatkan Kak Sufi tentang hadis Nabi s.a.w tentang pinangan yang tidak seharusnya ditolak ,takut jadi bala.Kak Sufi memang susah nak terima alasan Tok Guru sampaikan dia berdebat dengan Tok Guru.Kak Sufi ni sebenarnya tak suka berdebat.Kalau kami munaqoshah ilmu dalam majal fiqh misalnya sehingga timbul perdebatan antara kami,Kak Sufilah yang paling suka mengalah walaupun kebenaran pada dirinya.Dia cukup jaga adab tasauf dan ukhuwwah sesama kawan-kawan.Baginya,ukhuwwah dengan kawan-kawan tak boleh dihancurkan melalui masalah furu’.Tapi,hakikatnya sesiapa yang berdebat dengan Kak Sufi,memang Kak Sufi yang akan menang.Yalah,lama sangat menadah kitab kat sini,ilmu memang penuh dalam dada.Ilmu tasauf memang wilayahnya,tapi ilmu feqah juga tak asing dari dirinya.Kita ni biasanya ada ilmu sedikit dah mula nak berdebat sana,berdebat sini..nak tunjuk pandai bercakap la tu.Padahal amal entah macammana dan ke mana lagi.Susah benar nak mengalah dan bertawadhuk dengan pendapat orang lain.Hati penuh dengan ria’,’ujub dan suma’ah.Orang macam ni tak lama rasanya.Bukan dia je yang akan binasa tapi masyarakat pun boleh jadi porak- poranda.Tak gitu,kak?”dia melemparkan soalan lagi.Aku terkesima.Terasa kena pada batang hidung sendiri.Aku memandang wajahnya.Pandangan kami bertembung lalu dia mengangkat keningnya.Sedikit sebanyak kebenaran terbukti tentang apa yang diperkatakan tadi tentang keistimewaan pelajar pondok.
“Yalah tu,Cik Nafha.Tabik dengan ilmu Nafha.Yang pastinya,berjidal atau berdebat dalam soal ilmu tu penting.Penting untuk cari kebenaran dan supaya kita tidak taklid buta dalam aliran fahaman yang kita pegang.Yang lebih penting lagi,faham tentang adab-adab berdebat,”aku membuat khulasoh tersendiri untuk menoktahkan syarahannya yang tiba-tiba.Nampaknya cerita tentang Kak Sufi takkan habis begini,aku mengomen sendirian.
“Sambung cerita Kak Sufi tadi.Lepas puas berdebat,Tok Guru minta Kak Sufi solat istikhoroh dulu.Minta petunjuk dengan Allah.Tok Guru memang bagi sekeping gambar lelaki tu .Mana tahu,lepas lihat gambar lelaki tu,kot-kot hati Kak Sufi berubah.Tapi Kak Sufi memang tak ambil dan langsung tak nak tengok.Dia cakap,dia hanya nak isthikhoroh sahaja.Istikhoroh yang akan dibuat nanti penentu kepada perubahan besar dalam hidupnya selepas ini.Istikhoroh berkali-kali akhirnya memang dah Allah nak jodohkan dia dengan lelaki tu.Akhirnya dia terima juga lamaran tu walaupun dalam keadaan sedih,”dia menghabiskan ceritanya.Aku mencapai mangkuk sederhana besar lantas membuka tudung kuali .
“Emm....sedapnya bau.Pandai betul akak masak,”dia menghidu-hidu masakan ayam masak pedas .Aku tersenyum.
“Ni nak perli ke nak puji?”soalku seraya mengisi masakan ayam tadi ke dalam mangkuk . “Eh,betullah.Kalau Nafha ada abang,Nafha akan rekomenkan akak untuk dia.Akak ni kan sebenarnya ada.....”belum habis kata-katanya ,aku menutup mulutnya.Aku rasa aku dapat tahu apa yang akan dikatakan tentang diriku.
“Sekejap,ya.Nak letak tomato,”ujarku seraya membelah dua sebiji tomato yang merah meranum lantas kuletakkan di sisi mangkuk tadi.
“Akak suka makan tomato?Hii...Nafha tak sukalah.Lembek,”ujarnya seraya membuat ekspresi muka tersendiri.
“Suka.Tomato boleh mencantikkan kulit.Kalau tak suka pada sesuatu makanan,jangan caci.Diam sudahlah.Kalau tak nak makan,akak saja yang akan makan,”aku mengingatkannya sambil memindahkan semula belahan tomato tadi ke dalam pinggan yang berisi ulam . “Ohh...maaf!Lupa,”ujarnya sambil menutup mulutnya.Aku tersenyum sekilas sambil mencubit pipinya.Terhibur dengan telatahnya.
“Jomlah makan.Lapar dah ni.Lepas makan nanti,Nafha bahagi-bahagikan kat orang lain,”ujarnya lagi.
“Sepatutnya kita bahagi-bahagikan kepada orang lain dulu,baru kita boleh makan,”ujarku mahu membetulkan keadaan.
“Alah,tak kisahlah.Kita pun bukan makan banyak,kan.Dua ekor ayam dah lebih daripada cukup untuk pelajar kat sini.Jomlah.Lapar sangat dah ni,”ajaknya.Aku mengangguk setuju.Dia menghamparkan alas makan di atas lantai .Pinggan mula bertukar tangan untuk dihidangkan.Kami bersimpuh di atas lantai.Doa dibaca.Aku menilik kembali hidangan.Semangkuk ayam masak pedas,sepinggan ikan goreng ,sepinggan telur goreng ,sepinggan kecil budu dan yang menarik hatiku waktu ini adalah pinggan yang berisi cili dan ulam-ulaman yang segar yang sempat kubeli tadi. Emm...ini memang mewah. “Eh,betullah,kak.Menjadi ayam pedas akak ni,”tiba-tiba dia bersuara lagi.
“Hmm...puji banyak-banyak lagi, ye.Ni yang membuatkan akak makin sayang pada Nafha ni.Lain kali ,akak masak masakan lain untuk Nafha,”aku merespon.Dia ketawa halus.Ketawanya itulah yang makin membibitkan kemesraan antara kami.Akan kusimpan derai tawanya dalam kotak memori untuk dikeluarkan tatkala rindu pada bumi keramat ini mencengkam jiwa nanti.Ya Allah,ukhuwwah para sufiah ini takkan kulupa sampai bila-bila,desisku.Suasana mula kholi.
“Ceritanya setakat tu je ,ke?”aku bertanya memecahkan kesunyian keadaan.Nafha yang sedang khusyuk mengisi perut tersentak.Aku menggeleng-gelengkan kepala sambil tersenyum melihat telatah Nafha yang seolah-olah seperti tidak pernah merasai masakan ayam pedas sebelum ini.Tak pernah makan masakan ayam pedas ke atau masakan aku yang terlalu sedap?Astaghfirullah...... perasan lebih-lebih!!Kalau masuk pertandingan ,barangkali masakanku berada dalam ranking pertama dari belakang,kutukku sendirian.
“Maaf,lapar sangat kak.Emm,ada lagi.Allah nak tunjukkan betapa mulianya dia.Dua minggu selepas itu,majlis akad nikah dibuat.Tapi,lelaki tu tak balik Malaysia.Kiranya akad nikah kat sanalah.Dua tiga hari lepas tu,Kak Sufi pula dihantar ke sana.Kami,warga pondok hantar dia ramai-ramai ke lapangan terbang.Masya-Allah,dia memang bagaikan ratu waktu itu.Pemergiannya sangat ditangisi.Sebulan,kami tak lalu makan.Tok Guru pula tak luak menangis.Selalu sebut nama Kak Sufi.Rindu.Yang idealnya,Kak Sufi tu berangkat ke Mesir tanpa mengenali siapa dan bagaimana rupa suaminya dan suaminya sendiri pun masih tak kenal lagi dia waktu itu.Mungkin sedikit pelik tapi itulah faktor yang menambatkan rasa kasih dan cinta insani sepanjang hayat,”dia mengakhiri ceritanya.
Aku terdiam.Terpegun terlalu.Kisah cinta antara seorang insan wanita dengan Allah dan cinta manusiawi.Kata-kata Nafha ‘yang idealnya,Kak Sufi tu berangkat ke Mesir tanpa mengenali siapa dan bagaimana rupa suaminya dan suaminya sendiri pun masih tak kenal dia lagi waktu tu.Mungkin sedikit pelik tapi itulah faktor yang menambatkan rasa kasih dan cinta’ tadi mula mengusik perasaanku.Tubuhku terhenyak ke dinding.Entah kenapa,aku jadi teringat kepada kata-kata seorang teman yang mengingatkan bahawa Allah akan menarik balik berkat nikmat kasih dan sayang apabila berumahtangga lantaran sudah mengetahui terlebih dahulu rahsia pasangannya sebelum diijabkabulkan.Tiba-tiba sahaja,sebak mula menguasai hati dan perasaan.
“Kenapa mata akak merah?Sedih ke cerita Kak Sufi tu?”tiba-tiba dia bertanya.Aku tersedar. “Eh,taklah.Pedas kot,”ujarku sambil mengusap-usap mata.Dahinya nampak berkerut sedikit.
“Cerita tu dah habis.Oh,ya..sikit lagi.Janji Allah tu benar sangat.....lelaki baik untuk wanita yang baik,wanita yang baik untuk lelaki yang baik.Lelaki tu rupa-rupanya salah seorang pejuang di Palestin.Dia pilih Kak Sufi tu pun sebab dia yakin Kak Sufi tu seorang sufiah sejati.Yakin kerana bila seorang wanita meletakkan cinta utamanya adalah Allah,kematian dan kehilangan makhluk di sisinya tak mampu menggugat keimanan dan kehidupan seterusnya.Dia mahu Kak Sufi jadi pendamping setia untuk menolongnya dan yang paling penting untuk melahirkan zuriat sebagai pewaris semangat perjuangan jihad yang ada dalam hatinya.Kiranya suaminya tu perubah besar dalam hala tuju hidup Kak Sufi sekarang ni,”dia menoktahkan ceritanya setakat itu. Cantik!!Memang cantik cerita hidup Kak Sufi.Perubahan baru yang berlaku dalam hidupnya itu sangat dituntut.Betapa ramai para sufiah di sini menghabiskan masa berasyik-asyik dengan Tuhan semata.Bukan aku mahu merendahkan mereka,tapi zaman ini bukan zaman tasauf dan tarekat.Zaman ini zaman genting dakwah.Insan-insan seperti mereka sangat dituntut untuk mengislah masyarakat.Mengislah bermodalkan kekuatan hati yang mereka ada kerana kebanyakan fasadnya masyarakat sekarang berpunca daripada hati yang gersang iman.Pun begitu,aku bukan orang terbaik untuk menilai kedudukan dan hati mereka.Manusia suka menilai manusia lain berdasarkan pandangan nafsu dan mata yang kabur.Hanya Allah s.w.t Penilai Terbaik. Hmm...nampaknya aku ada bahan untuk menulis lagi.
“Akak,mana budu dalam piring ni?”tiba-tiba dia bertanya.
“Hmm...??”aku sedikit tersentak daripada lamunan.Aku melihat piring yang dimaksudkan.Tak sedar,piring itu sudah licin.Bukan piring sahaja yang sudah licin,malah pingganku juga.Sedangkan nasi di pinggan Nafha masih tak luak kerana ditambah-tambah.Masakan ayam pedas tadi hanya sedikit kusentuh .Nasi panas ,telur goreng panas, ulam dan sayur-mayur yang dcicah budu itu sebenarnya yang sangat memecahkan seleraku saat ini.
“Dah habis,ye!Maaflah,dik.Akak yang habiskan.Kat UIA memang tak de budu macam ni,”aku menjawab selamba sambil bangun meninggalkannya untuk membasuh pingganku yang sudah kosong.
“Akak....sampai hati!!!”dia menjerit kecil sambil bangun membawa piring kosong tadi lantas membuntutiku ke dapur.Aku ketawa kecil.
Oh Tuhan,
Jika aku mentah,masaklah!
Jika aku masak,bakarlah!
- Khawaja Abdullah Anshari-Munajat-
Daftar makna:
1)Muroqobah:perasaan diawasi Allah
2)Ghoddul basor:menundukkan pandangan
3)Wasil:sampai
4)Wasoya:pesanan
5)Ghorib:asing,pelik
6)Menta’kidkan:meyakinkan
7)Ghulul:berlebih-lebihan
8)Aghyar:makhluk
9)Wasil Ilallah:sampai kepada Allah
10)Munaqosyah:berbincang
11)Majal:bidang
12)Furu’:cabang
13)Khulasoh:kesimpulan.
Wednesday, September 16, 2009
Linangan Kerinduan
Maka, insan yang kerdil mula merenung ke dalam diri. Segala isi alam tenggelam dalam luahan mencari makna “asal” diri sendiri. Dari mana diri? Dari mana seluruh makhluk yang menghiasi di sekeliling diri? Hati yang mencari terus mencari sehingga benih ingin lebih mengetahui tentang “asal” diri terus bercambah. Dari kehendak yang tinggi untuk lebih mengetahui kepada kerinduan terhadap “asal” yang dicari.
“Tujuh golongan yang dinaungi di bawah naungan Allah pada hari yang tiada naungan melainkan naunganNya… Antaranya: Seorang lelaki yang mengingati ALLAH dalam keadaan bersendirian lalu berlinangan air (dari) matanya…”
Hidup ini terlalu lama untuk menterjemahkan pertemuan dua cinta. Bagaimana agar bisa terus melihatMu setelah kembali melihat dunia? Bagaimana bisa ku berinteraksi denganMu ketika keluar dari kesunyian ini menuju kesesakan dunia? Hidup yang mempunyai seribu satu cerita punya misteri sendiri. Namun, usia dari awal kelahiran sehingga ajal yang entah bila seolah-olah menjarakkan lagi pertemuan yang agung. Namun duhai sang hamba, lihatlah segala di sekelilingmu sebagai interaksi Tuhanmu kepadamu, nescaya itu yang akan terus mengikat kerinduanmu kepadaNya.
Apabila dikau melihat kicauan burung menyanyikan lagu rindu, tiupan angin membawa nyaman, pepohonan melambai ria, haiwan ternakan meragut rumput di padang, sungai yang mengalir membicarakan kedamaian dan cahaya mentari menyinar riang di balik bukit nan tersergam, maka lihatlah keindahan Allah s.w.t. melalui keindahan makhluk-makhlukNya tersebut. Makhluk-makhluk adalah cerminan sifat Allah s.w.t. melalui perbuatanNya.
Dengan demikian, kamu akan terus fokus terhadap DIA yang kamu cari. Bahkan, kamu akan terus mengerti yang hanya DIA yang kamu cari dalam hidup ini. Ramai manusia mencari apa yang belum pasti, sedangkan dia menuju apa yang pasti. Manusia yang bijak adalah, dia hanya mencari dan menuju apa yang pasti. ALLAH s.w.t.-lah yang pasti lagi hakiki. Tangisanmu biar terarah kepada mencariNya, agar jiwamu puas hanya dengan merinduiNya.
Mata jika menangis kerana sunyi dari makhluk, maka matamu adalah sebesar-besar hijab yang menjauhkanmu dari hakikat diri. Tangisan biarlah antara takut kepadaNya atau rindu kepadaNya. Rasulullah -shollaLlahu ‘alaihi wasallam- bersabda:
“Dua mata yang tidak akan disentuh oleh api neraka (antaranya): Mata yang menangis kerana takut kepada Allah s.w.t…” (hadith riwayat Imam At-Tirmizi)Rindu kepadaNya bermula dengan hati yang hanya mencari redhaNya. Hidup ini sentiasa ada lebih dari satu pilihan. Tetapi, satu-satunya pilihan yang membawamu kepada kebahagiaan abadi adalah dengan hanya memilih ALLAH sebagai tujuan. Daripada tujuan membawa kepada pengenalan. Daripada pengenalan membawa kepada kecintaan. Daripada kecintaan membawa kepada kerinduan. Semuanya bermula dengan “pencarian” yang tulus dan penuh kejujuran.
Amiin…
Wallahu a’lam…
Al-Faqir Al-Haqir ila Rabbihi Al-Jalil
Raja Ahmad Mukhlis bin Raja Jamaludin Al-Azhari
‘Amalahullah bi LutfiHi Al-Khafiyy
source
Monday, September 14, 2009
Cerpen: Ratu Sufiah
Semoga Allah s.w.t menyinari hati kita semua dengan cahaya kecantikanNya,membakar hati kita dengan asyik merindukan Nya dengan kehebatan dan kemuliannNya,memakmurkan rahsia orang-orang yang menjadi penghubung kita ke jalanNya dengan pertolongan yang lemah-lembut......amin.
“Siapa nama akak?”aku melemparkan soalan ringkas terhadap wanita berpurdah itu. “Sofeah.Panggil saja Kak Sufi,”dia menjawab ringkas .Kak Sufi?Macam pernah dengar je,aku bermonolog sendirian.Aku membuat isyarat supaya dia membuka cebisan kain purdah yang menghijab wajahnya.Sudah menjadi tradisi pelajar-pelajar muslimah di sini memakai hijab purdah untuk melindungi wajah mereka daripada ditatap oleh lelaki ajnabi.Ia sunnah sohabiah salafussoleh!!Sesuci-suci wanita itu adalah yang tidak mengenal dan dikenali lelaki.Wanita yang membahasakan diri sebagai Kak Sufi itu menarik hijab purdahnya ke bawah dagu.Subhanallah!!!Seketika aku terpegun menatap wajahnya.Wajahnya memang cantik,tapi bukan itu yang membuatkan aku terpesona.Nur di wajahnya yang merupakan biasan kesucian hatinya sangat menyilau dan menyerlah sekaligus memukau pandanganku lagi.Wajahnya yang tampak sangat jernih itu makin menyejukkan mata dan hatiku.Jarang benar aku melihat wajah yang sebegitu sebelum ini.Benarlah,warna wajah adalah warna di dalam hati kita.Sebaik-baik wajah itu adalah wajah yang apabila dipandang dapat mengingatkan kita kepada Allah s.w.t.Kelakuan duduknya yang bersimpuh tenang dan khusyuk menampakkan lagi kewibawaannya.Hakikatnya,wajah yang tenang ,kata-kata berhikmah dan bau yang harum adalah syiar insan-insan berhati sufi.Setika aku tersentak daripada lamunan lantas mengalihkan pandangan ke sisinya.Seorang anak perempuan kecil yang berusia kira-kira tiga tahun sedang bermain-main dengan seutas tasbih cendana yang kecil.Comelnya,desis hatiku.Aku menghulurkan tangan untuk bersalam dengannya.Dia menyalami dan mencium tanganku.Sopan.
“Ini anak Kak Sufi,ye?Siapa namanya?”soalku lagi. “Nur Barokah”jawab Kak Sufi. “Masya-Allah....cantiknya nama!!Moga-moga cahaya keberkatan sentiasa mengiringi hidupnya.Amin”pujiku seraya mendoakannya. “Aminn...insya-Allah,itulah yang kita harap-harapkan,”ujar Kak Sufi lagi sambil mengusap-usap belakang anak kecilnya. “Kak Sufi ni pelajar lama kat pondok ni ke?Saya tak pernah nampak akak pun sebelum ni,”akhirnya aku memuntahkan kemusyiklan yang terpendam sejak dari tadi. “Emm..memang akak pelajar paling lama,tapi bukan pelajar paling tua,”jawabnya sambil tersenyum.Sempat lagi ujarannya diselati lelucon.Aku turut tersenyum. “Sekarang ni...?”sengaja aku melemparkan soalan umum sebegitu. “Sekarang ni dah tak belajar kat sini.Akak teman suami akak belajar kat Mesir.Dia belajar di Universiti Al-Azhar.Kami balik ni pun sekejap saja sebab ada urusan penting,”kata-katanya itu mengembalikan ingatanku kepada sesuatu.Ohh...inilah Kak Sufi yang menjadi sebutan pelajar-pelajar pondok di sini.Sejak aku bermukim di pondok pengajian ini untuk menghabiskan cuti semester,namanya seringkali disebut-sebut oleh warga pondok di sini tanpa kutahu sebabnya.Ratu Sufiah!!! Itulah gelaran yang dinobatkan untuknya.Hatiku semakin ditarik-tarik untuk mengenalinya secara dekat. “Ohh...jadinya akak dah tak tinggal kat sini lagi,ye?Seronok tak tinggal kat negara orang?Mesti banyak ilmu dan pengalaman,kan.Kalau akak sempat musafir atau ziarah ke makam Rasulullah s.a.w,kirimkan salam saya untuk baginda,ya,”aku berpesan.
“Alhamdulillah...Mesir negara yang kaya dengan ilmu.Bahkan penduduknya suka dan cintakan ilmu pengetahuan.Insya-Allah,kalau akak sempat ziarah ke makam Rasulullah s.a.w,akak akan sampaikan salam tu.Biasanya peluang musafir macam tu ada waktu cuti kuliah suami sahaja.Tapi,kalau waktu cuti sebegitu,kami biasanya ke Palestin,”dia menjawab.Aku mendengarnya dengan penuh minat.Memang menjadi hobi aku untuk mendengar dan membaca kisah-kisah kembara .Dia menoktahkan kalamnya setakat itu.Hampa.Seketika,mula terbit soalan-soalan pelik dari mindaku.Palestin? “Err....Palestin ?Suami akak orang Palestin ke?”tiba-tiba terpacul soalan itu dari bibirku..Dia memandang wajahku.Pandangan kami bertembung.Cepat sahaja anak matanya dilarikan.Memang dia wanita yang cukup solehah,gumamku sendirian.Satu perkara yang aku belajar daripada kakak-kakak di pondok ini tentang ciri-ciri khusus wanita solehah.Ghoddul basor dengan lelaki.Itu memang sudah aku sedia maklum. Tapi,ada satu lagi ciri rahsia wanita solehah ini;pandangannya mudah jatuh apabila bercakap dengan sesama wanita yang lain.Rasulullah s.a.w sendiri pun,matanya tidak memandang terus ke mata sahabat-sahabat Baginda apabila bercakap.Pemalunya Rasulullah s.a.w.Sifat begitulah perlu dibiaskan dalam peribadi wanita-wanita Islam agar tampak indah akhlak yang dibawa Islam.Subhanallah!! “Tak adelah.Suami akak memang orang sini,”jawapannya yang sangat ringkas itu memang tidak memuaskan hatiku.Nur Barokah yang sejak dari tadi bermain-main dengan seutas tasbih itu menghampiri umminya dan duduk di atas ribaanya.Kak Sufi membetulkan cara anaknya memegang tasbih dan mula mengajarnya menyebut nama Allah.
“Zikir,dik.Kakak ni nak dengar Barokah berzikir.Sebut Allah...Allah,”arah Kak Sufi dengan lembut kepada anaknya.Suara anak kecil yang mula mendendangkan kalimah Allah itu terasa sangat lunak di indera dengarku.Aku tersenyum melihatnya.Bertuahnya,terdidik dalam manhaj tarbiah tasauf dari kecil lagi,gumamku sendirian.Aku terus menunggu jawapan yang seterusnya.Kak Sufi masih diam sambil terus tersenyum manis.Rasa hampa menguasai diri.Tak pelah,aku boleh tanya orang lain kot,gumamku lagi.Kata pelajar-pelajar di sini,Kak Sufi sangat pendiam.Barangkali,sebab itulah soalanku tak terjawab penuh tadi,hatiku berdesis.Manusia pendiam bukan sebarang manusia.Pendiam,kalau sudah berbicara pasti mengeluarkan api dan darah.Pencela sifat diam perlu diingatkan,orang bijak itu diciptakan dengan tidak banyak bicara.Apatah lagi,diamnya seorang sufi.Terlalu banyak menyimpan rahsia yang ‘haram’ di dalam hati untuk diterjemahkan.
Fikiranku mula menerawang kepada kata-kata Abu Yazid Al-Busthami,seorang ahli sufi yang terkenal.Ujarnya:
“Jika kau melihat seseorang yang percaya pada Jalan Kebenaran,mintalah dia agar berdoa untukmu kerana doanya itu dimakbulkan”
“Kak,doakan saya.Impian saya nak jadi sufiah sejati macam akak,”akhirnya aku menuturkan juga ayat ini walaupun diterpa rasa segan dan malu yang teramat.Dia merenung lama ke wajahku.Seakan-akan fikirannya sedang bermain dengan firasat tentang diriku.Akhirnya dia tersenyum lagi.Hatiku mula berdebar-debar.Teringat kepada hadis Rasulullah s.a.w,takutilah firasat orang mukmin,sesungguhnya dia melihat dengan cahaya Allah.Ya Allah...ustur ‘aibi! “Dik,banyakkan zikir dan rabithoh mursyid.Jangan tinggal wudhu’.Kena latih muroqobah setiap masa.Berpegang teguh dengan sunnah Rasulullah s.a.w.Pakai sifat taqwa zahir dan batin..Insya-Allah...dipermudahkan Allah untuk kita wasil di sisiNya,”ujarnya meninggalkan wasoya berharga untukku. Aku mula mampir ke sisinya lalu dia meletakkan tangannya ke atas kepalaku dan mengusap-usap kepalaku sambil berdoa dengan suara yang lirih dan lembut. “Allahumma,laka khodo’at nufusul ‘arifin wadanat laka riqobul musytaqin.Allahumma hablaha wujudaka wahalilllaha bisitrin,waqollibuha ‘ala bisatil ma’rifah biquwwatit tauhid wal yaqin,waaiyyidha bika laka bima ayyadtu bihi ‘ibadakas solihin...amin.(Ya Allah,kepadaMu tunduk seluruh jiwa kaum ‘Arifin dan kepadaMu tunduk leher kaum Al-Musytaqin(yang rindu),Ya Allah berikanlah kepadanya kehadiran wujudMu,tutupilah kesalahannya,balikkannya di atas hamparan Makrifat dengan kekuatan Tauhid dan keyakinan dan teguhkanlah dia dengan sesuatu yang pernah Engkau teguhkan bagi hamba-hambaMu yang soleh...perkenankanlah),”doanya yang sangat berharga ini membuatkan setitis demi setitis air mataku luruh .Ya Allah....terima kasih kerana Kau temukan aku dengan ‘orang Ketuhanan ‘ yang seorang ini!!!
(to be continued...)