‘Dalam segala sesuatu ada sebuah tanda, Sebuah kunci bahawa ‘Dia adalah satu’ -Fakhruddin ‘Iraqi
Teringat kepada dialog yang pernah berlaku di antara penghulu sufiah pada abad ke 8 ,Rabiatul Adawiah dan khadamnya.
“Sekarang ini musim bunga,Rabiah.Kenapa tidak keluar dan melihat keindahan ciptaan Allah s.w.t?”soal khadamnya.
“Kenapa tidak masuk ke dalam,wahai gadis pelayan dan lihatlah Yang Esa yang menciptakan semua itu-tersingkap semua ,tanpa tabir”balas Rabiah.
Subhanallah!!!
Oh,Allah.Perjalanan ini panjang.Lautan ini dalam.Aku seperti para salik di sini juga.Percaya pada harapan yang tinggi.Bilamana muncul harapan sebegini ,secara alamiah jiwa akan berusaha keras memandang ke langit dan mengarah pada hal-hal yang tersembunyi dalam diri di sebalik kondisi-kondisi yang mengongkong diri,dengan harapan aku juga mahu berkesempatan untuk merasakan wewangian dan kurniaan spiritual yang tersembunyi di dalam diri sebagai lampu tangan untuk menerangi perjalananku menyelami lautan keabadian rahsia hakikat tentang Ilahi.
‘Ketika aku terus mengetuk pintu Tuhan
Kutunggu sepenuh kesedaran ,tidak tergoda,
Hingga di sana muncul mata kemuliaan
Dari wajahnya dan sebuah panggilan buatku,hanya
Kusertakan mengada dalam pengetahuan
Tak ada sesuatu pun dalam hatiku,kecuali Tuhan’ -Syeikh Al-Akbar Ibn Al-Arabi Futuhat Al-Makkiyah
Aku menghentikan tafakkur alamku.Kembali memandang ke dalam.Plastik yang berisi dua ekor ayam yang sudah siap dipotong kupandang sekilas.Selesai gotong royong pagi tadi,aku bergegas ke pasar tani.Hari ini aku perlu menunaikan permintaan Nafha,adik pondokku yang dua tahun muda daripadaku untuk menyediakan menu masakan ayam untuknya.Pelik.Katanya,jika aku masakkan menu ayam untuknya pada hari ini,dia akan mengambil alih giliranku membersihkan pondok kami selama seminggu.Macam-macam,desisku sambil tersenyum sendirian.Aku membuka tudung periuk.Ikan rebus yang direbus semalam belum lagi luak.Nasi yang ditanak di dalam rice cooker pun belum juga luak.Aku mula meneliti bahan-bahan masakan yang ada.Fikiranku ligat memikirkan sesuatu.Tiba-tiba,salam kedengaran dan bunyi derap langkah kaki seseorang membuatkan aku berpaling ke belakang seketika.Derap-derap langkahnya membuatkan lantai papan yang sudah usang sedikit berkeriut.Nafha muncul dengan lenggang-lenggoknya yang tersendiri.Aku melemparkan secalit senyuman untuknya.
“Nafha dari mana ?Akak tak nampak pun masa gotong royong tadi,”aku melemparkan soalan untuk berbasi-basa.
“Nafha pergi ziarah kubur arwah Ustaz Atiqullah pagi tadi.Dah lama tak pergi ziarah.Alhamdulillah,sempat hadiahkan bacaan Yaasin dan bertawassul kat situ,”ujarnya sambil tersenyum.Mendengar jawapannya,aku teringat akan kebiasaan pelajar –pelajar pondok yang suka bertawassul di situ.
“Awalnya.Akak cadang nak pergi lepas ni.Sempat tak?”soalku lagi
“Tak sempat dah,kak.Waktu ni,giliran pelajar muslimin pula yang datang.Nafha pergi ziarah awal tadi sebab takut bertembung dengan diorang lah.Biasanya pukul sembilan hingga sebelas,kawasan kubur dah penuh.Cuba akak tengok,”ujarnya sambil membuka luas jendela dapur yang menghala ke arah kawasan perkuburan yang hanya terletak di belakang pondok kami.
Aku menjenguk ke arah jendela. Kelihatan segerombolan pelajar muslimin yang berjubah dan berserban serba putih sedang mengelilingi kawasan kubur arwah Ustaz Atiqullah.Di belakang mereka,muncul pula satu kumpulan yang berpakaian sama..Turut serta di hadapan mereka ialah Tok Guru pondok yang sudah uzur yang terpaksa dibawa dengan kerusi roda.
“Emm....tak pelah.Petang nanti kot.Petang ni kita tak menadah kitab ,kan?”soalku.
“Macam nilah,kak.Err...Nafha bawa akak ziarah kubur waktu malam ni.Lepas Isyak.Setuju?”soalnya serius tiba-tiba.Aku memandangnya dengan ekspresi wajah yang semacam.
“Apa ni?Ajak orang ziarah kubur malam-malam.Tak ada kerja ke?”soalku kembali.Tiba-tiba ketawanya pecah.Aku jadi malu sendirian.
“Aaa...kan dah takut!!Cantiknya muka macam tu,”ujarnya sambil ketawanya meletus perlahan.Aku menarik muka empat belas.
“Taklah.Saja nak uji akak.Rupa-rupanya akak ni penakut ,ya.Nak jadi orang sufi tak boleh ada sifat takut,tau,”ujarnya sambil tersenyum memanjang.
“Tak takut pun.Cuma akak fikir ,cadangan tu macam tak munasabah je”aku mempertahankan diriku sendiri.
“Apa yang tak munasabah ,kak?Perkara macam tu dah jadi biasa kat sini.Ziarah kubur ni melembutkan hati.Kalau disertai dengan tafakkur yang betul,hati kita yang keras ni memang jadi betul-betul lembut,”ujarnya bersungguh-sungguh.
“Yang tu akak tahu.Orang –orang soleh dulu macam Rabi’ bin Khutsaim pernah gali liang kubur kat rumah dia.Bila dia rasa hati dia keras,dia akan masuk dalam kubur tu dan bertafakkur seolah-olah dia sudah meninggal.Barulah hati dia jadi lembut kembali,”ujarku sambil bercerita.
“Kalau macam tu,jom kita buat macam dia.Atau sekurang-kurangnya kita pergi tafakkur kat kubur malam ni.Jomlah,Nafha dah biasa buat macam tu,”ujarnya seolah-olah mendesakku.Aku memandang padanya sambil separuh tersenyum.Cadangan yang tidak munasabah untuk dilaksanakan oleh seorang wanita .Tapi,boleh juga...sebagai salah satu inovasi terbaru untuk tarbiah hati,ngomelku sendirian.Aku kembali merenung jauh kawasan kubur yang akan menjadi destinasi keduaku nanti.Terbayang saat-saat sakarat dan alam barzakh yang wajib kutempuhi nanti.Alam itu adalah pintu pertama untuk melangkah ke alam akhirat.Selamat hidupku di situ,selamatlah hidupku di akhirat nanti.Mengingatkan itu semua,tiba-tiba terbit rasa gerun di hati.Aku kembali memandang Nafha dan mengangkat keningku sebagai tanda setuju.Akhirnya dia tersenyum lebar.
“Hmm...bestnya menu makanan kita hari ni.Akak nak masak apa ni?”soalnya sambil menilik plastik yang berisi potongan-potongan ayam .
“Buat apa lagi?Nak sediakan menu ayam untuk permaisuri pondok yang seorang ni la.Kenapa?Nak tolong masakkan ke?”soalku sambil mengisi air ke dalam cerek untuk direbus.Dia tersengih memanjang.
“Eh,mana boleh.Kan akak dah janji yang akak nak masak hari ni.Akak tak boleh mungkir janji tau .Nanti jadi orang munafik”jawabnya sambil mengangkat jari telunjuknya seolah-olah untuk mengingatkanku.Aku ketawa kecil.Adikku yang seorang ini manja wataknya.
“Nafha,menu makanan kita ni mewah sebenarnya.Kalau kenyang sangat,nanti susah ilmu nak masuk.Kakak-kakak pondok dulu tak makan macam ni.Diorang cuma isi perut berlaukkan ikan rebus saja.Dengan ikan rebus macam tulah,diorang boleh menadah sampai boleh balik mengajar masyarakat kampung.Tak macam pelajar pondok sekarang,”aku memuntahkan kembali bobelan ketua pelajar yang pernah kudengar.
“Alah,akak ni.Bukannya selalu kita makan macam ni.Sebenarnya Nafha ada berniat nak jamu masakan ni untuk pelajar-pelajar muslimat.Lagipun hari ni kan hari Jumaat.Nafha suruh akak masak sebab Nafha tak pandai nak masak masakan ayam begini.Yalah,hari-hari makan ulam je,”responnya meleraikan kekusutan di fikiranku.
“Oh,macam tu.Kenapa tak cakap awal-awal?Tak pelah,nanti kalau dah siap,bawa naik semangkuk ke rumah Tok Guru,baru boleh bahagikan untuk kawan-kawan,ye,”aku mengingatkannya.Dia mengangguk sambil tersenyum.
“Tapi,kita nak masak apa sebenarnya ni?”soalnya kembali.Aku diam seketika.
“Kita buat ayam masak pedas.!Senang.Lagipun bahan-bahannya ada ni,”aku merespon .Dia mengangguk setuju.
“Haa...apa lagi!Tolonglah bersihkan ayam tu dulu.Lepas tu,toskan.Akak nak goreng ikan rebus ni sikit.Nanti membazir,”ujarku sedikit menyergahnya.Dia jadi terkebil-kebil seketika sebelum melangkah ke sink.Aku menyalakan api dapur untuk memanaskan minyak di dalam kuali.Sambil menunggu minyak meruap panas,aku memerhatikan Nafha yang mula ralit membersihkan ayam di sink
“Nafha,boleh akak tanya sesuatu?Tentang Kak Sufi.Semalam akak jumpa dia kat madrasah.Siapa sebenarnya Kak Sufi tu?Acapkali akak dengar pelajar-pelajar kat sini sebut nama dia,”soalku.
“Oh..akak dah jumpa dia semalam,ya.Kak Sufi?Kak Sufi tu istimewa orangnya,”ujar Nafha ringkas.Aku memandang kuali yang sudah panas.Lalu seekor demi seekor ikan kurendamkan ke dalam kuali berminyak itu.
“Aduh....astaghfirullah!!,”tiba-tiba terlatah perkataan itu tatkala minyak panas itu sedikit ‘meletup’ lalu terkena pada dahi.Nafha memandangku sekilas lantas tersenyum.
“Akak ni macam tak biasa goreng ikan pulak.Kalau minyak ‘meletup’ macam tu,akak boleh taruh dua keping asam gelugor.Insya-Allah,takkan ‘meletup’ punya,”dalam situasi begitu ,sempat lagi dia mengenakan aku.
“Bukan tak biasa goreng ikan.Yalah,akak ni kan pelajar universiti,Nafha kan pelajar pondok.Hari- hari mengadap periuk dan kuali.Akak ni kat universiti,hari-hari mengadap bekas polistrin,”ujarku merendah diri sambil melontarkan alasan yang tidak ‘ideal’ untuk saat-saat begini.Dia ketawa kecil.
“Oh,ya.Kita cakap pasal apa tadi?Tentang Kak Sufi,kan?Apa yang istimewanya Kak Sufi tu?”aku mengadapnya kembali.Berharap agar persoalanku tentang Kak Sufi terjawab. “A’aah.Memang Kak Sufi istimewa bagi warga pondok di sini.Dia tu seorang sufiah sejati,kak.Asal keturunannya daripada keluarga pejuang Islam kat Selatan Thailand.Datuk dia syeikh tareqat kat sana.Banyak menulis kitab tentang feqah dan tasawuf.Memang sejak kecil,dia dididik dengan didikan dan suasana orang-orang sufi.Bertuahnya dia,kan.Kebanyakan pelajar-pelajar kat sini ,susur galurnya daripada keturunan alim-ulama yang mengamalkan tasauf dalam kehidupan.Sebab tu,tak hairanlah kalau diorang ni bersungguh-sungguh untuk menjadi orang sufi disebabkan benih tasawuf tu dah tertanam dalam diri sejak kecil lagi.Kalau akak,macam mana pula?”ceritanya yang mula menarik perhatianku diakhiri dengan satu soalan. “Hmm?Betullah tu,”responku ringkas tanpa menjawab soalannya tadi.Dia terdiam lantas menyambung kembali.
“Walaupun Kak Sufi tu berasal dari keturunan yang mulia,dia tak pernah menyebut-nyebut tentang kebaikan mahupun keistimewaan diri dan keluarganya apatah lagi untuk memuliakan keluarganya di depan orang lain.Dia seorang yang sangat merendah diri.Dia tinggal kat pondok ni sejak umur belum mencapai belasan tahun lagi.Sejak lepas baligh,dia tak pernah tinggal solat tahajjud.Kalau ada pelajar-pelajar yang terbangun waktu tengah malam,diorang boleh tengok cahaya lilin yang Kak Sufi pasang dari awal tengah malam hingga rapat subuh.Sebab tu,sinar muka dia bercahaya pelik.Satu lagi kak,tempat dia selalu solat tu berbau sangat harum.Kak Sufi sendiri pun tak tahu,dari mana datangnya bau harum tu,”Nafha menerangkannya dengan panjang lebar.Aku yang mendengarnya jadi termangu-mangu.Segera ku menoleh ke kuali lantas mencapai pinggan untuk mengangkat semula ikan rebus yang digoreng tadi.
“Lagi?”aku bertanya terus.Bahan-bahan masakan yang telah tersedia kupandang kembali.Dua cawan cili kering mula kubersihkan lalu dimesin dengan sedikit belacan.Siap.Satu cawan setengah campuran bawang merah dan bawang putih pula kumesin lagi sehingga lumat.Selesai.
“Biasanya pelajar-pelajar kat sini akan minta Kak Sufi buat kuliah khusus untuk maddah tasauf yang ustaz Mat dah ajar sebelum ni.Macam kitab –kitab golongan mubtadi’ para sufiah , kitab Hidayatus Salikin dan kitab-kitab tauhid yang lain.Kakak-kakak yang lain pun ramai lagi yang layak ,tapi pelajar-pelajar kat sini lebih suka kalau Kak Sufi yang ajar.Entahlah,kak.Dia tu sangat berpengaruh.Kata-katanya biasa saja tapi sangat menusuk jiwa sesiapa yang dengar.Bukannya Nafha nak agung-agungkan dia,tapi setiap kali dia mengajar,majlis tu seakan-akan jadi macam majlis muhasabah pulak.Ramai yang menangis.Ada sekali tu,dia bincang tentang tajuk taubat.Masya-Allah,lutut ni bergetar bila dengar Kak Sufi cerita tentang hakikat taubat yang sebenar.Bukan Nafha seorang je rasa macam tu,kawan-kawan yang lain pun begitu juga.Kak,salahkah kita kagum lebih-lebih pada manusia sebegitu?”ceritanya yang panjang diakhiri dengan satu soalan.Nampaknya dapur ni akan bertukar menjadi medan ilmu ,hatiku berbisik.Tak apa,pembinaan budaya ilmu sebenarnya tidak mengira waktu dan tempat. “Kagum pada manusia tu tak salah.Apatah lagi kalau keistimewaan dan kebaikannya itu kita jadikan qudwah.Lagilah ahsan.Yang salahnya,kita terlalu menilik makluk sehingga lupa pada yang Menciptanya.Nafha,orang yang suka bertahajjud ni Allah bagi dia hikmah dalam berkata-kata.Itu salah satu kelebihannya.Satu lagi,tak sama orang yang tahu dan faham tentang tarbiah hati dengan orang yang pernah merasai dan melalui tarbiah hati itu sendiri.Jauh bezanya.Ramai orang boleh syarah tentang kelebihan menangis mengenangkan dosa tapi tak ramai yang mampu menghayatinya.Yang mampu menghayatinya itulah yang boleh membuatkan orang lain pun boleh menangis bila mendengarnya.Tangisan dan kesedaran hati itu salah satu sunnah dan ciri-ciri majlis dakwah Rasulullah s.a.w,”aku menjawab lebar sambil memanaskan minyak di dalam kuali yang lain.Minyak mula meruap panas.Bahan-bahan yang telah siap dimesin tadi kumasukkan di dalam kuali untuk ditumis.Bahan tumisan itu kukacau supaya jadi sebati.Bau tengik mula menguasai suasana.Aku dan Nafha terbersin beberapa kali.
“Betul tu,kak.Macammana kita nak sedar dan hidupkan hati orang lain padahal hati kita sendiri yang tak sedar dan mati.Hati ni hanya boleh disentuh dengan hati sahaja.Hati dan jiwa insan yang keras tak mampu sedarkan hati orang lain apatah lagi untuk membaiki suasana keadaan,”dia menambah.Emm,betul sekali ujarannya.Fikiranku menerawang teringat pada Kak Sufi lagi.Ada soalan yang tertinggal yang belum terjawab tentang dirinya.
“Macammana Kak Sufi boleh kahwin dengan suaminya tu?Hairan,pelajar pondok sebegitu dapat jodoh dengan pelajar dari Azhar.Biasanya akak dengar,pelajar muslimat kat sini dijodohkan dengan pelajar lelaki pondok juga,”aku melemparkan soalan yang ghorib.
“Emm,panjang ceritanya kak.Tak ada perkara yang mustahil dalam dunia ni.Akak suka menulis,kan.Kalau akak boleh buat novel tentang kisah dia,lagi bagus.Sebelum tu,Nafha nak tanya akak,kalau Allah taqdirkan akak kahwin dengan budak pondok,macammana?”tiba-tiba terpacul soalan sebegitu dari bibirnya.Ini soalan cepu emas ni,bisikku.Aku tersenyum sambil menggeleng-gelengkan kepala.Soalannya aku tinggalkan bergelandangan begitu sahaja. “Inilah masalahnya orang-orang kita.Pandang rendah pada pelajar-pelajar pondok...”tiba-tiba dia melemparkan tuduhan.
“Isy,..akak tak cakap pun yang akak takkan terima.Apatah lagi nak pandang rendah pada pelajar-pelajar pondok ni,”aku membetulkan tuduhan.Bau bahan tumisan semakin meruap naik.Aku membuat isyarat supaya Nafha menghulurkan bekas potongan ayam yang sudah siap ditos tadi.Nafha menghulurkan bekas tadi lantas kucampurkan dengan hati-hati.
“Nafha tak tuduh akak.Tapi,kebanyakkan orang luar pandang remeh pada pelajar pondok.Sebenarnya,siapalah tahu,di sebalik kopiah dan serban yang melilit,di sebalik baju melayu dan kain sarung yang lusuh,di sebalik jubah,tudung labuh dan niqob yang menutup wajah,barangkali mereka yang lebih arif tentang Allah.Rahsia ilmu Allah ada dalam genggaman mereka.Walaupun nampak pakaian dan diri selekeh,tapi ilmu mereka tak selekeh macam pelajar universiti.Pelajar universiti ni pakai je kemas,tapi ilmu fardhu ain belum tahu lagi setakat mana kemasnya.Tak gitu?”soalannya berakhir dengan nada tanya yang nakal.Aduh,berdesing telingaku.Gadis ini pandai berkata-kata.Aku tahu,dia tak berniat untuk menyakiti hatiku.Barangkali mahu membuktikan kebenaran tentang diri mereka sendiri. “Well......barangkali betul,barangkali tidak,”aku menjawab ujarannya dengan respon yang sederhana.Tidak mahu melulu menta’kidkan kata-katanya.Sebarang kenyataan perlukan bukti.Kalau tiada bukti tulisan,memerhati pun memadai tapi perlu benar-benar disuluh dengan hati yang bersih dari kuman-kuman terutama penyakit syirik khofi.Hati mukmin yang sudah dan sangat bersih itu,kan tersingkap hijab hatinya lantas terzahir rahsia kerajaan langit dan bumi milik Allah s.w.t
“Nanti kita boleh bincangkan balik fenomena ni.Akak pun dah lama fikir hal ni.Tak pelah,sekarang kita berbalik pada cerita Kak Sufi tadi,”ujarku mengalihkan topik perbualan.Tampak dia berfikir sesuatu.Barangkali di noktah mana dia harus bermula.Aku memandang kembali ke dalam kuali.Ayam kelihatan sudah empuk.Aku memasukkan air asam jawa,garam ,gula dan serbuk perasa secukup rasa.
“Akak mungkin tak tahu,dulu pelajar-pelajar muslimat kat sini jadi rebutan para muslimin kat luar.Bukan saja direbut oleh pelajar muslimin pondok,bahkan oleh pelajar-pelajar universiti.Bukan apa,kak.Kakak-kakak dulu berkualiti tinggi.Ilmu dan pengamalan agama dalam diri cukup mantap dan teguh.Ditambah lagi dengan akhlak dan budi pekertiyang mulia.Macam Kak Sufi tulah.Kak Sufi tu asalnya tak nak kahwin.Dia ada sebut tentang hasrat ni pada teman rapat dia.Yalah,kak.Orang nak serius amal ilmu tasauf kat sini,betul-betul nak jadi sufiah,nak duduk bersama dengan Allah sentiasa,perlu mujahadah untuk bunuh nafsu,”ujarnya serius.Aku tersentak.
“Astaghfirullah....Nafha salah guna perkataan kot!Mana boleh kita bunuh nafsu.Nafsu kalau dibunuh,ia akan mati.Susah kita nanti,terpaksa cari ginseng....”ujar aku sedikit melawak.Wajahnya yang serius tadi mula bertukar warna.Akhirnya dia tersenyum.Aku menyambung.
“Kita memang tak boleh bunuh nafsu,dik.Kalau kawal,boleh.Allah dah ciptakan manusia ni berbeza daripada malaikat.Perbezaan kita dengan mereka sebab ada nafsu dan keinginan.Nafsu tu memang selalu suruh kita buat kejahatan.Sebab tu,Allah suruh kekang dan salurkan nafsu ikut syariat.Nabi beribadat,tapi dia pun berkahwin bahkan baginda sendiri suka pada wanita yang solehah.Kan ada dalam hadis,tiga perkara dunia yang Baginda suka-solat,wanita solehah dan wangian.Kadang-kadang yang beramal tasauf ni ada yang ghulul dalam beramal.Ini satu masalah.Kadang-kadang boleh bawa fitnah pada masyarakat,”aku membetulkan persepsinya.
“Akak,yang tu Nafha tahu.Tapi,akak sendiri tahu,kan.Rasa tak nak kahwin dan menolak lelaki dalam hidup adalah sebahagian sifat hati semasa proses mujahadah nafsu.Sifat hati sebegini akan berlaku apabila kita berusaha untuk meletakkan nama Allah terhujum kuat dalam hati.Maka ,keinginan kepada aghyar yang lain akan terhapus,”dia membalas.
“Ya,betullah tu.Itulah yang dinamakan sebagai ‘maqom tajrid’,”aku mengiyakannya.Bau harum mula menguasai suasana.Aku menilik kembali ke arah kuali.Ok dah kot ni,aku berkira-kira sendirian.Segera kuangkat kuali ke atas para dengan hati-hati.
“Maqom tajrid?Maqom macammana tu?”dia menyoalku kembali.
“Maqom tajrid ni macam keadaan Kak Sufi tu lah.Kita pun mungkin melaluinya.Salah satu sifat kalau kita berada dalam maqom ni ialah kita tidak cenderung kepada jantina yang berlainan jenis.Sebab bagi kita,itu adalah sebahagian daripada penghalang untuk Wasil Ilallah.Jadinya,kita akan sedaya-upaya untuk menjauhkan diri daripada mendekati perkahwinan.Takutnya bila dah kahwin,kita akan terikat dengan pelbagai tanggungjawab sehingga hadaf kita untuk Wasil Illalh terhenti separuh jalan.Natijahnya,perjalanan kita akan jadi lembap.Sering saja diganggu oleh perasaan malas,payah,lesu ,letih.So,kalau dah dikuasai oleh perasaan-perasaan macam tu,macamana nak masuk bidang zauk dan wujdan,”terangku panjang lebar.
“Ohh...macam tu.Patutlah ramai sufiah kat sini tak nak kahwin.Tapi,memang setiap orang akan lalui maqom ni ke?”soalnya kembali.
“Tak juga.Kalau Allah bagi kekuatan dalam diri seseorang tu,perkara sebegini tidak menjadi masalah.Kalau suami atau isteri tu seorang ‘pejalan’ di jalan Allah juga,itu sangat bagus kerana masing-masing dapat membantu antara satu sama lain .Tak minatlah nak bincang perkara ni.Kita sambung balik cerita tentang Kak Sufi tadi,”aku mengalihkan topik perbualan.Mataku menangkap sesuatu di dalam plastik.Segera kumerancang sesuatu.
“Nanti sekejap,Nafha.Tolong tukar minyak dalam kuali yang akak goreng ikan rebus tadi”ujarku sambil mengarah.
“Nak buat apa pula ni?”soalnya kembali.
“Hmm...terfikir nak goreng telur dua biji.Boleh,kan?”soalku.Nafha mengangguk lantas mengisi minyak yang baru di dalam kuali.
“Kenapa tak campur dengan minyak tadi?Kan jimat sikit,”soalnya lagi.Aku memandang wajahnya.Hairan.
“Jimat?Ini bukan soal nak jimat.Ini soal kesihatan.Sebenarnya tak berapa bagus kita guna kembali minyak masak sebelum ni.Risikonya,kita boleh dapat kanser.Wanita kan paling ramai kena penyakit kanser ni,”responku kembali.Demi mendengar perkataan ‘kanser’,wajahnya mula berubah.Aku tersenyum melihat wajahnya.
“Emm..sambung balik,ye.Tadi Nafha cerita,Kak Sufi tu tak nak kahwin ,kan.Kak Sufi ni ada bakat keistimewaannya tersendiri.Dia pandai menjahit baju.Jahitannya sangat halus dan teliti.Nak jadi cerita,ada seorang makcik yang tinggal kat kawasan belakang pondok ni tempah baju daripada Kak Sufi,”dia menghentikan ceritanya.Mengambil nafas.
“Lepas tu?”aku bertanya lanjut.
“Kebetulan antara baju-baju yang ditempah tu adalah untuk anak lelakinya yang belajar kat Universiti al-Azhar.Bila dah siap,baju tu dihantar ke sana.Masa tulah,barangkali anak lelakinya tertarik dengan kehalusan jahitan Kak Sufi.Terus saja dia istikhoroh dan masuk risik melalui emaknya,”dia berhenti lagi.Aku termangu-mangu untuk mendengar ceritanya lagi. “Kemudian?”aku bertanya seolah-olah tidak sabar.
“Kemudian,datanglah rombongan meminang .Sebenarnya ,itu bukan pinangan kali pertama.Dah banyak kali dah lelaki datang meminang terutama pelajar lelaki kat pondok ni,tapi semuanya ditolak mentah-mentah.Masa tu,hati dia memang nekad tak nak kahwin.Nak tumpukan ubudiyyah pada Allah semata-mata.Memang dia tu sufiah sejati betullah,kak.Memang tak ada keinginan nak kahwin langsung.Bila rombongan tu datang untuk kali kedua,Tok Guru sendiri bercakap dengan Kak Sufi.Kak Sufi ni anak yatim piatu,tak de orang jaga.Cuma mengharap belas kasih sayang daripada keluarga Tok Guru.Keluarga Tok Guru memang sangat sayangkan dia sebab dah anggap macam anak sendiri.Kata Kok Guru,awak ni dah ramai dipinang orang,tapi semua awak tolak.Awak nak lelaki macam mana lagi atau apa lagi yang awak nak?Awak tu pelajar paling lama kat sini.Kawan-kawan yang sebaya dengan awak semua dah berumahtangga.Bukan Tok Guru tak nak jaga Kak Sufi lagi,tapi Tok Guru suruh Kak Sufi fikir masa depannya sendiri.Masa tu,Kak Sufi memang betul-betul menangis depan Tok Guru.Akak tahu,dia jawab apa kat Tok Guru kita?”dia melemparkan soalan dalam nada yang bersungguh-sungguh.
“Apa dia?”aku bertanya lanjut.
“Dia kata,hati saya dah diresap dengan cinta Allah.Allah membuatkan hati saya kaku.Kaku untuk melihat makhluknya.Allah membuatkan anggota tubuh saya lumpuh.Lumpuh untuk mengenal selainNya.Tok Guru tak faham hati saya.Saya tak ingin dan tak berhajat pada lelaki.Mana mungkin dua cinta bersemayam dalam satu hati.Kalau pun bersemayam,cinta Allah yang akan menguasai hati ini.Cinta makhluknya yang satu lagi akan tenggelam.Saya bimbang untuk menjalani kehidupan bersama lelaki tanpa perasaan,”Nafha memuntahkan kembali dialog yang memang disimpan dalam kotak ingatan.Seolah-olah dihafal.
“Subhanallah..,”hanya kalimat itu yang keluar dariku.Terasa bulu romaku meremang saat ini.
“Lepas tu,Tok Guru pujuk dia balik.Pujuk dengan ilmu.Tok Guru kata,kita kena ambil juga syurga dunia ni.Macam-macam lagilah Tok Guru cakap pasal kelebihan berkahwin ni.Tok guru pun ada ingatkan Kak Sufi tentang hadis Nabi s.a.w tentang pinangan yang tidak seharusnya ditolak ,takut jadi bala.Kak Sufi memang susah nak terima alasan Tok Guru sampaikan dia berdebat dengan Tok Guru.Kak Sufi ni sebenarnya tak suka berdebat.Kalau kami munaqoshah ilmu dalam majal fiqh misalnya sehingga timbul perdebatan antara kami,Kak Sufilah yang paling suka mengalah walaupun kebenaran pada dirinya.Dia cukup jaga adab tasauf dan ukhuwwah sesama kawan-kawan.Baginya,ukhuwwah dengan kawan-kawan tak boleh dihancurkan melalui masalah furu’.Tapi,hakikatnya sesiapa yang berdebat dengan Kak Sufi,memang Kak Sufi yang akan menang.Yalah,lama sangat menadah kitab kat sini,ilmu memang penuh dalam dada.Ilmu tasauf memang wilayahnya,tapi ilmu feqah juga tak asing dari dirinya.Kita ni biasanya ada ilmu sedikit dah mula nak berdebat sana,berdebat sini..nak tunjuk pandai bercakap la tu.Padahal amal entah macammana dan ke mana lagi.Susah benar nak mengalah dan bertawadhuk dengan pendapat orang lain.Hati penuh dengan ria’,’ujub dan suma’ah.Orang macam ni tak lama rasanya.Bukan dia je yang akan binasa tapi masyarakat pun boleh jadi porak- poranda.Tak gitu,kak?”dia melemparkan soalan lagi.Aku terkesima.Terasa kena pada batang hidung sendiri.Aku memandang wajahnya.Pandangan kami bertembung lalu dia mengangkat keningnya.Sedikit sebanyak kebenaran terbukti tentang apa yang diperkatakan tadi tentang keistimewaan pelajar pondok.
“Yalah tu,Cik Nafha.Tabik dengan ilmu Nafha.Yang pastinya,berjidal atau berdebat dalam soal ilmu tu penting.Penting untuk cari kebenaran dan supaya kita tidak taklid buta dalam aliran fahaman yang kita pegang.Yang lebih penting lagi,faham tentang adab-adab berdebat,”aku membuat khulasoh tersendiri untuk menoktahkan syarahannya yang tiba-tiba.Nampaknya cerita tentang Kak Sufi takkan habis begini,aku mengomen sendirian.
“Sambung cerita Kak Sufi tadi.Lepas puas berdebat,Tok Guru minta Kak Sufi solat istikhoroh dulu.Minta petunjuk dengan Allah.Tok Guru memang bagi sekeping gambar lelaki tu .Mana tahu,lepas lihat gambar lelaki tu,kot-kot hati Kak Sufi berubah.Tapi Kak Sufi memang tak ambil dan langsung tak nak tengok.Dia cakap,dia hanya nak isthikhoroh sahaja.Istikhoroh yang akan dibuat nanti penentu kepada perubahan besar dalam hidupnya selepas ini.Istikhoroh berkali-kali akhirnya memang dah Allah nak jodohkan dia dengan lelaki tu.Akhirnya dia terima juga lamaran tu walaupun dalam keadaan sedih,”dia menghabiskan ceritanya.Aku mencapai mangkuk sederhana besar lantas membuka tudung kuali .
“Emm....sedapnya bau.Pandai betul akak masak,”dia menghidu-hidu masakan ayam masak pedas .Aku tersenyum.
“Ni nak perli ke nak puji?”soalku seraya mengisi masakan ayam tadi ke dalam mangkuk . “Eh,betullah.Kalau Nafha ada abang,Nafha akan rekomenkan akak untuk dia.Akak ni kan sebenarnya ada.....”belum habis kata-katanya ,aku menutup mulutnya.Aku rasa aku dapat tahu apa yang akan dikatakan tentang diriku.
“Sekejap,ya.Nak letak tomato,”ujarku seraya membelah dua sebiji tomato yang merah meranum lantas kuletakkan di sisi mangkuk tadi.
“Akak suka makan tomato?Hii...Nafha tak sukalah.Lembek,”ujarnya seraya membuat ekspresi muka tersendiri.
“Suka.Tomato boleh mencantikkan kulit.Kalau tak suka pada sesuatu makanan,jangan caci.Diam sudahlah.Kalau tak nak makan,akak saja yang akan makan,”aku mengingatkannya sambil memindahkan semula belahan tomato tadi ke dalam pinggan yang berisi ulam . “Ohh...maaf!Lupa,”ujarnya sambil menutup mulutnya.Aku tersenyum sekilas sambil mencubit pipinya.Terhibur dengan telatahnya.
“Jomlah makan.Lapar dah ni.Lepas makan nanti,Nafha bahagi-bahagikan kat orang lain,”ujarnya lagi.
“Sepatutnya kita bahagi-bahagikan kepada orang lain dulu,baru kita boleh makan,”ujarku mahu membetulkan keadaan.
“Alah,tak kisahlah.Kita pun bukan makan banyak,kan.Dua ekor ayam dah lebih daripada cukup untuk pelajar kat sini.Jomlah.Lapar sangat dah ni,”ajaknya.Aku mengangguk setuju.Dia menghamparkan alas makan di atas lantai .Pinggan mula bertukar tangan untuk dihidangkan.Kami bersimpuh di atas lantai.Doa dibaca.Aku menilik kembali hidangan.Semangkuk ayam masak pedas,sepinggan ikan goreng ,sepinggan telur goreng ,sepinggan kecil budu dan yang menarik hatiku waktu ini adalah pinggan yang berisi cili dan ulam-ulaman yang segar yang sempat kubeli tadi. Emm...ini memang mewah. “Eh,betullah,kak.Menjadi ayam pedas akak ni,”tiba-tiba dia bersuara lagi.
“Hmm...puji banyak-banyak lagi, ye.Ni yang membuatkan akak makin sayang pada Nafha ni.Lain kali ,akak masak masakan lain untuk Nafha,”aku merespon.Dia ketawa halus.Ketawanya itulah yang makin membibitkan kemesraan antara kami.Akan kusimpan derai tawanya dalam kotak memori untuk dikeluarkan tatkala rindu pada bumi keramat ini mencengkam jiwa nanti.Ya Allah,ukhuwwah para sufiah ini takkan kulupa sampai bila-bila,desisku.Suasana mula kholi.
“Ceritanya setakat tu je ,ke?”aku bertanya memecahkan kesunyian keadaan.Nafha yang sedang khusyuk mengisi perut tersentak.Aku menggeleng-gelengkan kepala sambil tersenyum melihat telatah Nafha yang seolah-olah seperti tidak pernah merasai masakan ayam pedas sebelum ini.Tak pernah makan masakan ayam pedas ke atau masakan aku yang terlalu sedap?Astaghfirullah...... perasan lebih-lebih!!Kalau masuk pertandingan ,barangkali masakanku berada dalam ranking pertama dari belakang,kutukku sendirian.
“Maaf,lapar sangat kak.Emm,ada lagi.Allah nak tunjukkan betapa mulianya dia.Dua minggu selepas itu,majlis akad nikah dibuat.Tapi,lelaki tu tak balik Malaysia.Kiranya akad nikah kat sanalah.Dua tiga hari lepas tu,Kak Sufi pula dihantar ke sana.Kami,warga pondok hantar dia ramai-ramai ke lapangan terbang.Masya-Allah,dia memang bagaikan ratu waktu itu.Pemergiannya sangat ditangisi.Sebulan,kami tak lalu makan.Tok Guru pula tak luak menangis.Selalu sebut nama Kak Sufi.Rindu.Yang idealnya,Kak Sufi tu berangkat ke Mesir tanpa mengenali siapa dan bagaimana rupa suaminya dan suaminya sendiri pun masih tak kenal lagi dia waktu itu.Mungkin sedikit pelik tapi itulah faktor yang menambatkan rasa kasih dan cinta insani sepanjang hayat,”dia mengakhiri ceritanya.
Aku terdiam.Terpegun terlalu.Kisah cinta antara seorang insan wanita dengan Allah dan cinta manusiawi.Kata-kata Nafha ‘yang idealnya,Kak Sufi tu berangkat ke Mesir tanpa mengenali siapa dan bagaimana rupa suaminya dan suaminya sendiri pun masih tak kenal dia lagi waktu tu.Mungkin sedikit pelik tapi itulah faktor yang menambatkan rasa kasih dan cinta’ tadi mula mengusik perasaanku.Tubuhku terhenyak ke dinding.Entah kenapa,aku jadi teringat kepada kata-kata seorang teman yang mengingatkan bahawa Allah akan menarik balik berkat nikmat kasih dan sayang apabila berumahtangga lantaran sudah mengetahui terlebih dahulu rahsia pasangannya sebelum diijabkabulkan.Tiba-tiba sahaja,sebak mula menguasai hati dan perasaan.
“Kenapa mata akak merah?Sedih ke cerita Kak Sufi tu?”tiba-tiba dia bertanya.Aku tersedar. “Eh,taklah.Pedas kot,”ujarku sambil mengusap-usap mata.Dahinya nampak berkerut sedikit.
“Cerita tu dah habis.Oh,ya..sikit lagi.Janji Allah tu benar sangat.....lelaki baik untuk wanita yang baik,wanita yang baik untuk lelaki yang baik.Lelaki tu rupa-rupanya salah seorang pejuang di Palestin.Dia pilih Kak Sufi tu pun sebab dia yakin Kak Sufi tu seorang sufiah sejati.Yakin kerana bila seorang wanita meletakkan cinta utamanya adalah Allah,kematian dan kehilangan makhluk di sisinya tak mampu menggugat keimanan dan kehidupan seterusnya.Dia mahu Kak Sufi jadi pendamping setia untuk menolongnya dan yang paling penting untuk melahirkan zuriat sebagai pewaris semangat perjuangan jihad yang ada dalam hatinya.Kiranya suaminya tu perubah besar dalam hala tuju hidup Kak Sufi sekarang ni,”dia menoktahkan ceritanya setakat itu. Cantik!!Memang cantik cerita hidup Kak Sufi.Perubahan baru yang berlaku dalam hidupnya itu sangat dituntut.Betapa ramai para sufiah di sini menghabiskan masa berasyik-asyik dengan Tuhan semata.Bukan aku mahu merendahkan mereka,tapi zaman ini bukan zaman tasauf dan tarekat.Zaman ini zaman genting dakwah.Insan-insan seperti mereka sangat dituntut untuk mengislah masyarakat.Mengislah bermodalkan kekuatan hati yang mereka ada kerana kebanyakan fasadnya masyarakat sekarang berpunca daripada hati yang gersang iman.Pun begitu,aku bukan orang terbaik untuk menilai kedudukan dan hati mereka.Manusia suka menilai manusia lain berdasarkan pandangan nafsu dan mata yang kabur.Hanya Allah s.w.t Penilai Terbaik. Hmm...nampaknya aku ada bahan untuk menulis lagi.
“Akak,mana budu dalam piring ni?”tiba-tiba dia bertanya.
“Hmm...??”aku sedikit tersentak daripada lamunan.Aku melihat piring yang dimaksudkan.Tak sedar,piring itu sudah licin.Bukan piring sahaja yang sudah licin,malah pingganku juga.Sedangkan nasi di pinggan Nafha masih tak luak kerana ditambah-tambah.Masakan ayam pedas tadi hanya sedikit kusentuh .Nasi panas ,telur goreng panas, ulam dan sayur-mayur yang dcicah budu itu sebenarnya yang sangat memecahkan seleraku saat ini.
“Dah habis,ye!Maaflah,dik.Akak yang habiskan.Kat UIA memang tak de budu macam ni,”aku menjawab selamba sambil bangun meninggalkannya untuk membasuh pingganku yang sudah kosong.
“Akak....sampai hati!!!”dia menjerit kecil sambil bangun membawa piring kosong tadi lantas membuntutiku ke dapur.Aku ketawa kecil.
Oh Tuhan,
Jika aku mentah,masaklah!
Jika aku masak,bakarlah!
- Khawaja Abdullah Anshari-Munajat-
~~~Tamat~~~
Daftar makna:
1)Muroqobah:perasaan diawasi Allah
2)Ghoddul basor:menundukkan pandangan
3)Wasil:sampai
4)Wasoya:pesanan
5)Ghorib:asing,pelik
6)Menta’kidkan:meyakinkan
7)Ghulul:berlebih-lebihan
8)Aghyar:makhluk
9)Wasil Ilallah:sampai kepada Allah
10)Munaqosyah:berbincang
11)Majal:bidang
12)Furu’:cabang
13)Khulasoh:kesimpulan.
No comments:
Post a Comment