Setiap manusia yang lahir ke dunia ibarat kain putih bersih yang suci daripada sebarang corak dan warna yang mengotorinya. Setiap kejadian ciptaan Allah Ta’ala sememangnya indah dan kejadian manusia merupakan bukti paling agung kewujudan Dia sebagai Tuhan Yang Esa yang menjadikan setiap makhluk. Namun berapa ramai di antara kita tahu tujuan sebenar hidup mereka di atas muka bumi ini? Sesungguhnya sedarlah wahai diri kehidupan di dunia ini hanyalah sebagai sebuah persinggahan dalam rangka menuju kehidupan abadi di akhirat sana. Tujuan kewujudan manusia di atas muka bumi ini tidak lain adalah untuk melaksanakan ibadat dan ketaatan pada Pencipta yang meminjamkan sebentar nyawa.
Firman Allah Ta'ala,
"Tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk beribadat kepadaku."
Dalam perjalanan yang singkat kembali semula kepada Pencipta banyak halangan yang mendatang. Hanya mereka yang terpilih oleh Allah Ta’ala sahaja akan berjaya menempuhinya. Allah Ta’ala Maha Penyayang kepada setiap hambaNya. Diutuskan olehNya Rasul-Rasul yang terpilih untuk menjelaskan hakikat sebenar kehidupan manusia di dunia ini. Betapa kasihnya Allah pada kita, tidak dibiarkan manusia kesesatan di dunia yang penuh cubaan ini. Diilhamkan juga pada setiap manusia naluri berTuhan dan naluri untuk melakukan kebaikan.
Syaitan laknatullah dan juga nafsu jahat tidak akan pernah berhenti menggoda manusia agar terpesong dari jalan kebenaran. Sentiasa berusaha menjauhkan manusia dari petunjuk Allah Ta’ala. Menjauhkan manusia daripada ayat-ayat Allah dan pesanan-pesanan Rasulullah SAW. Rugilah manusia yang berpaling dari Al-Quran dan Hadith yang sentiasa mengingatkan di saat lupa . Hidup hanya terbatas di dunia ini sahaja dan bercita-cita untuk memenuhi segala keinginan duniawi yang melalaikan. Mereka memandang segalanya terbatas hanya berdasarkan pengetahuan malah menganggap kehidupan akhirat tidak benar sama sekali. Bangga dengan diri sendiri lantaran ilmu yang dirasakan penuh didada lalu mengabaikn ayat-ayat Allah. Mereka akan akhirnya terjerumus ke dalam neraka bersama-sama syaitan di akhirat kelak.
"Sesungguhnya kekuatan/kekuasaan syaitan itu hanya pada orang -orang yang berwali padanya (menurut pada pimpinan/bisikan-bisikannya, dan dengan itu mereka menyekutukan Allah) (An Nahl:100)
Beruntunglah setiap manusia yang berjaya menempuhi setiap cubaan yang datang. Namun pesan pada diri semuanya bukan kerana diri sendiri malahan dengan Rahmat dan Kasih Sayang Allah yang Maha Agung yang mengurniakan hidayahNya. Tidak ada sebarang kejadian di dunia ini yang berlaku melainkan dengan kehendak Allah. Masuknya seseorang hamba ke syurga bukan kerana pangkat,darjat,keturunan,rupa apatah lagi hartanya, melainkan dengan Rahmat dan belas kasihan Allah jua.
Jika di saat ini kita merasakan diri kita hina dan penuh dosa di hadapan Allah, cepatlah memohon taubat padaNya. Dia tidak pernah mengabaikan setiap hambaNya apatah lagi yang mereka yang memohon ampunan dan Rahmat dari pada Nya dengan penuh kesungguhan. Kembalilah kepada Allah Pencipta yang menjadikan kita. Jangan sesekali berputus asa dalam mencari sinar hidayah buat menerangi kehidupan yang dirasakan umpama dalam kegelapan.
"Katakanlah:Hai hambaKu yang telah keterlaluan menjerumuskan diri (berbuat dosa), jangan kamu putus harapan dari Rahmat Allah, sesungguhnya Allah sanggup mengampunkan semua doa, Allah Maha Pengampun lagi Maha penyayang." (Az Zumar:53)
Perjalanan kearah kebenaran tidak dijadikan Allah indah dan mudah umpama seorang artis yang dibentangkan karpet merah malah akan sentiasa diselangi dengan onak duri yang meranjau. JIka kita mengimbas kembali bagaimana kehidupan para Rasul dan sahabat yang tidak pernah sunyi dari penderitaan pasti kita akan menyedari,betapa beruntungnya kita. Oleh itu gunakanlah kesempatan umur yang masih bersisa ini untuk terus mencari keredhaan Allah. Kerana tanpa redha Allah tiadalah erti kita disisi Allah. Rahmat dan keredhaan Allah menjadi misi utama dalam meraih cinta-Nya yang hakiki. Dan ingatlah wahai diri di saat ujian datang bertimpa-timpa,mohonlah padaNya kerana Allah itu dekat dan sentiasa bersama kita. Semoga Allah memudahkan perjalanan kita kembali ke sisiNya.
"…maka Allah mengetahui apa yang ada di dalm hati mereka lalu menurunkan ketenangan atas mereka dan memberikan balasan kepada mereka dengan kemenangan yang dekat(waktunya)." (Al Fath:18)
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Tuhan dosaku menggunung tinggi
Tapi taubatku tak ku tepati
Tuhan RahmatMU melangit luas
Namun sedikit sekali ku bersyukur…
Tiada daya untuk bertahan…hanya Engkau tempat berpegang..
Kau jagalah hati yang kadang redup..ditiup angin duniawi…
Gemerlap kilauan harta,takhta dan cinta manusia..yang menyesatkan…
Ilahi.. daku berlindung kepadaMu dari jiwa yang tidak pernah merasa puas..
Ilahi.. jangan Engkau tinggalkan aku dengan diriku sendiri walau sekelip mata cuma…pimpin daku pada jalanMu yang lurus..ampunilah hamba yang penuh dosa ini Ya Allah..
Ilahi..Anta maqsudi wa redhaKa mathlubi…ameen Ya Rabbal ‘alameen..
Laa haulawalaquwwata illa billah.
Astaghfirullah al adzim.
No comments:
Post a Comment